Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tonton filem Antara Dua Darjat untuk fahami isu perundangan kini'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Keputusan pihak pendakwaan dalam kes Musa Aman serta kes lain membabitkan orang awam menunjukkan ada dua sistem perundangan berasingan di negara ini, dakwa Anwar Ibrahim.

Justeru Presiden PKR mencadangkan agar orang ramai menonton filem arahan Allahyarham P Ramlee yang ditayangkan kira-kira 60 tahun lalu, Antara Dua Darjat.

"Jadi, kita lihat umpamanya penubuhan sistem perundangan yang membuktikan ada dua kelas, dua darjat.

"Sebab itu filem (Antara) Dua Darjat ini kita kena tonton semula, (ada beza) antara kelas atasan dan bawahan.

"Atasan mudah sangat (terlepas daripada hukuman),” katanya dalam siaran langsung di Facebook, hari ini.

Anwar sebelum itu mengulas mengenai keputusan pihak pendakwaan menarik balik semua 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dikenakan ke atas Musa semalam.

Dengan keputusan tersebut juga hakim membebas dan melepaskan bekas ketua menteri Sabah berkenaan.

Menurut Anwar, ketika Musa dilepaskan ada pula orang biasa yang dikenakan hukuman penjara kerana melakukan kesalahan bernilai ratusan ringgit.

Patut persoalkan ikrar

Antara Dua Darjat merupakan filem yang memaparkan kisah percintaan membabitkan seorang lelaki miskin dengan seorang wanita yang dilahirkan keluarga kaya dan mementingkan kedudukan.

Selain P Ramlee, filem tayangan 1960 itu turut menampilkan pelakon seperti Saadiah, Kuswadinata dan Ahmad Nifsu.

Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau mengambil maklum bahawa keputusan pihak pendakwaan dibuat dengan merujuk kepada afidavit yang diikrarkan oleh bekas peguam negara, Abdul Gani Patail.

Pun begitu, kata Anwar, kerajaan juga sepatutnya boleh mempersoalkan ikrar berkenaan dengan mengambil kira kemungkinan wujud konflik kepentingan.

"Hal-hal ini patut disiasat dengan teliti.

"Saya percaya secara umum kita tahu kalau saudara itu guru atau pekerja biasa, atau pun pekerja kilang mahu pun pegawai rendah kerajaan melakukan kesalahan, dihukum denda atau masuk penjara.

"Tetapi kalau saudara itu seorang tokoh politik besar, ratusan juta dan bilion ringgit, itu terlepas," katanya.

Sementara itu melalui ciapan di Twitter Anwar juga mengulas mengenai kes curi membabitkan seorang buruh yang mengaku bersalah mencuri petai di sebuah kebun di Batu Rakit, Kuala Terengganu pada 4 Mac 2019.

Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada 4 Jun lalu menjatuhkan hukuman penjara selama 15 bulan ke atas buruh terbabit yang dituduh mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

"Yang mencuri petai meringkuk dalam penjara, yang curi juta-juta terlepas kerana punya rangkaian dengan yang berkuasa. Sistem jenis apakah ini?" ciap Anwar.