Skip to main
Logo Malaysiakini

Patuh SOP: Pemeriksaan mengejut akan dibuat ke sekolah - Menteri

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pegawai Kementerian Pendidikan (KPM) akan membuat pemeriksaan secara mengejut di sekolah setelah sesi pembelajaran dibuka buat pelajar tingkatan lima dan enam pada 24 Jun ini.

Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin menjelaskan bahawa tindakan itu dibuat bagi memastikan pihak sekolah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kementeriannya.

“Berkaitan pematuhan SOP, kita dah pastikan PPD buat pemantauan dan saya juga telah meminta pegawai kanan kementerian untuk turun tanpa beritahu sekolah.

“[…] dan bukan tujuan apa. Ia cuma untuk pastikan tahap kesediaan sekolah dalam pematuhan SOP,” katanya dalam sidang media khas secara langsung sebentar tadi.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita berkenaan tindakan yang akan diambil bagi memastikan sekolah mematuhi penuh SOP dan garis panduan yang ditetapkan KPM.

Terdahulu, Mohd Radzi mengumumkan bahawa pelajar tingkatan lima dan enam akan mula bersekolah pada 24 Jun ini.

Untuk rekod, pada 4 Jun lalu, KPM telah mengeluarkan garis panduan buat pihak sekolah.

Protokol yang dikeluarkan dalam garis panduan ini merangkumi jarak sosial, kebersihan tangan, pemeriksaan kesihatan, pembersihan dan sanitasi, hebahan maklumat langkah kesihatan dan keselamatan, susun atur meja dan aplikasi MySejahtera.

Sementara itu, Mohd Radzi turut menambah bahawa pelajar bukan daripada kelas peperiksaan awam masih mengikuti pembelajaran menerusi atas talian.

“Pembelajaran di rumah (buat pelajar bukan dari kelas peperiksaan awam) akan diteruskan.

“Memandangkan guru-guru telah kembali ke sekolah, pendekatan pengajaran dan pembelajaran boleh dipelbagaikan dengan akses kepada kemudahan-kemudahan yang ada di sekolah,” katanya lagi.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.