Skip to main
Logo Malaysiakini

Jangan ambil kesempatan kaut untung atas pelanggan, kata menteri

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Alaxender Nanta Linggi hari ini memberi peringatan kepada pengusaha kedai gunting rambut agar tidak mengambil kesempatan atas alasan penggunaan peralatan perlindungan tambahan untuk pelanggan.

Katanya, meskipun tiada kawalan harga ditetapkan terhadap perkhidmatan itu, kerajaan tahu julat harga peralatan tambahan yang perlu disediakan oleh pengusaha bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Mungkin kita tak perlu nak kawal rapi (penambahan harga perkhidmatan). Cuma kita semua tahu harga dia (harga alatan tambahan).

"Kalaulah ada yang buat caj apron yang digunakan pelanggan, daripada 80 sen (harga kos), (tapi) caj RM8, haa … memang tangkaplah," katanya selepas membuat tinjauan mesra pengusaha kedai gunting rambut di pusat membeli belah di MyTown di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Nanta Linggi, peralatan perlindungan tambahan seperti apron dan pelitup muka tidak menelan kos yang mahal.

Bagaimanapun kata pengusaha tetap dibenarkan untuk mengutip kos peralatan itu tanpa mengaut keuntungan daripadanya.

"Mereka (pengusaha) boleh caj pelanggan amaun tepat kos yang mereka perlukan untuk patuh pada SOP.

"Mereka boleh kutip kos dari pelamggan. Tapi jangan ambil kesempatan dari pelanggan. Jangan ambil keuntungan, OK?" tambahnya.

Satu jam mungkin tak cukup

Antara SOP pengusaha khidmat gunting rambut ialah mereka perlu menyediakan apron khusus bagi setiap pelanggan yang harus dibuang setiap kali selesai menggunting atau mendandan rambut.

Tukang gunting atau tukang dandan rambut juga perlu mengenakan sarung tangan dan pelitup muka ketika menguruskan pelanggan masing-masing.

Bermula hari ini, perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan, yang menyaksikan hampir semua sektor dibenar beroperasi semula termasuk perkhidmatan gunting rambut.

Bagaimanapun, pengusaha masih perlu patuh dengan SOP yang telah ditetapkan bagi mencegah wabak Covid-19.

Sementara itu, Nanta Linggi berkata kerajaan akan mengumpul segala maklum balas berhubung SOP di premis perkhidmatan gunting rambut untuk penambahbaikan.

Ini termasuklah aduan segelintir pengusaha yang meminta masa maksimum yang lebih lama diberikan kepada mereka untuk menggunting dan mendandan rambut.

Berdasarkam tinjauan Malaysiakini, ada pengusaha mengadu bahawa masa maksimum sejam untuk setiap pelanggan dalam SOP adalah tidak mencukupi untuk perkhidmatan seperti mewarnakan rambut dan meluruskan rambut (rebonding).

"Kesemua ini kami kumpul maklum balas dari semua pihak, bagaimana mungkin kita boleh buat penambahbaikan (SOP).

"Setakat ini, yang kita putuskan selagi belum ada SOP baru biarlah kita ikut yang telah ditetapkan buat sementara," kata Nanta Linggi.