Skip to main
Logo Malaysiakini

Lelaki Bangladesh ditemui mati dipercayai dibunuh

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang lelaki warga Bangladesh ditemui mati dengan kesan kecederaan di dahi dan kepala serta lebam dan cedera di beberapa bahagian badan, dipercayai dibunuh, di kawasan kebun sayur, Jalan Ara Kuda di Tasek Gelugor hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata mayat Mohammad Abdul Lofti, 59, ditemui dalam keadaan terbaring oleh pekerja di kebun sayur itu kira-kira pukul 7.00 pagi ketika pekerja wanita dalam perjalanan ke kebun untuk bekerja.

"Wanita itu menghubungi polis memaklumkan penemuan mayat dan pemeriksaan awal menemukan banyak darah di badannya serta kesan koyakan di dahi kiri dan atas kepalanya, disyaki akibat dipukul dengan objek tumpul dan keras, lebam di pipi kiri serta cedera di lutut kanan.

"Barangan peribadi milik lelaki itu berada dalam bungkusan plastik bersamanya, antaranya terdiri daripada ubatan dan telefon bimbit serta beberapa keping wang di sisi kiri tangannya. Sebanyak RM418 ditemui bersamanya," katanya dalam kenyataan, di Tasek Gelugor malam ini.

Menurutnya, polis turut menemui sebatang besi gali lubang berukuran 70 sentimeter tidak jauh daripada mayat lelaki itu yang dipercayai senjata digunakan oleh suspek untuk memukul lelaki itu sehingga mati.

Noorzainy berkata berdasarkan keterangan pekerja kebun yang tinggal di kawasan kebun itu, lelaki berkenaan telah ke rumah majikan di situ pada pukul 9.00 malam semalam untuk mengambil duit gaji pekerja lain untuk dikirim kepada keluarga di Bangladesh.

Katanya selepas menerima wang gaji pekerja kebun RM3,000 lelaki itu terus beredar untuk pulang ke rumahnya yang tidak jauh dari situ, sebelum mayatnya ditemui pagi ini.

"Lelaki itu merupakan bekas pekerja di ladang sayur berkenaan dan sudah menetap selama tiga tahun di negara ini. Disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dia telah membuat perniagaan tambah nilai telefon bimbit dan dalam masa sama membantu mengirimkan wang kepada keluarga pekerja kebun di Bangladesh," katanya.

"Mayat dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat dan laporan (bedah siasat) mendapati lelaki itu mati akibat hentakan kuat objek tumpul dan keras sehingga menyebabkan keretakan tulang tengkorak serta mengalami pendarahan yang banyak dalam otak," katanya.

- Bernama