Skip to main
Logo Malaysiakini

K'jaan digesa serap pekerja pembersihan hospital

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerajaan perlu terlibat dan menggunakan tekad politik untuk menyelesaikan masalah syarikat pembersihan yang didakwa menganiaya pekerja, kata seorang aktivis.

M Sarasvathy berkata pekerja pembersihan hospital juga merupakan barisan hadapan seperti doktor dan jururawat, dan harus diserap sebagai penjawat awam dan bukannya diuruskan oleh syarikat pihak ketiga dengan kontrak.

"Kami ingin Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sumber Manusia terlibat, menggunakan tekad politik mereka dan mengambil tindakan.

"Kerajaan harus berhenti memberikan kontrak (perkhidmatan pembersihan hospital) kepada syarikat yang menyekat gerakan kesatuan sekerja.

"Pekerja-pekerja ini adalah barisan depan. Kerajaan harus menyerap mereka," kata Sarasvathy dalam forum yang disiarkan di Facebook.

Forum yang bertajuk Hak Pekerja Ketika Pandemik - Pengalaman Pekerja Pembersih Hospital telah dianjurkan bersama oleh Freedom Film Network, Goethe-Institut Malaysia dan Kesatuan Eropah di Malaysia.

Sarasvathy adalah setiausaha eksekutif Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital. Dia adalah antara lima individu yang didakwa kerana melanggar perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) setelah mereka mengadakan tunjuk perasaan terhadap UEM Edgenta Bhd di luar hospital Ipoh awal bulan ini.

Tunjuk perasaan itu sebagai membantah syarikat berkenaan yang didakwa menyekat kegiatan kesatuan sekerja.

Sarasvathy, yang memperjuangkan hak pembersih hospital, menyatakan bahawa sejak tahun 1997, pekerja berkenaan telah dikendalikan oleh hingga 10 sub-kontraktor.

"Dari tahun 1997 hingga sekarang, hampir 10 sub-kontraktor telah berubah.

"Setiap kali ada perubahan, pekerja dianggap sebagai kumpulan pekerja baru lagi dan manfaat mereka dipotong atau diubah.

"Seorang pembersih hospital telah bekerja selama 26 tahun dan akan dianggap sebagai pekerja baru dengan setiap perubahan sub-kontraktor," katanya.

Dia menambah bahawa pekerja pembersih hospital berharap penghapusan sistem kontrak agar mereka dapat menikmati manfaat sesuai dengan pengalaman bertahun-tahun mereka seperti penjawat awam.

Pada 5 Jun, Biro Pekerja Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengadakan pertemuan dengan Menteri Sumber Manusia M Saravanan bagi membincangkan masalah mengenai pekerja pembersih hospital.

Sementara itu, peguam Edmund Bon berkata kerajaan harus melindungi barisan depan yang mendapat gaji rendah.

"Kerajaan harus lebih melindungi mereka. Senioriti pekerja hilang setelah pertukaran majikan.

"Sekiranya barisan depan menghadapi masalah, kerajaan harus menjadi orang pertama yang memberi bantuan.

"Ini akan memberi kesan buruk kepada kerajaan jika tidak ada tindakan yang diambil. Pada akhirnya, pihak yang memperjuangkan anda adalah mereka ini," kata Bon.

Bon menekankan bahawa perkhidmatan penting seperti pembersihan hospital tidak boleh dilakukan oleh orang luar atau diswastakan.

"Pilihan lain adalah jika diswastakan, harus ada perjanjian tiga pihak di mana kerajaan juga merupakan bagian dari kontrak," katanya.

Selepas tunjuk perasaan itu, UEM Edgenta Bhd telah mengeluarkan kenyataan yang menolak dakwaan bahawa syarikat tersebut telah melakukan aktiviti menyekat kesatuan.

Syarikat itu berkata sejumlah 2,2000 pekerja pembersihan dari subkontraktor sebelumnya telah bekerja secara langsung di bawah Edgenta UEMS dan bukan sebagai kontraktor.