Skip to main
Logo Malaysiakini

Perbicaraan kes rasuah Ku Nan ditangguh

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Perbicaraan Tengku Adnan Tengku Mansor yang berdepan pertuduhan rasuah RM1 juta ditangguhkan sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung rayuan pendakwaan terhadap isu penarikan diri hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes itu.

Hakim Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim memaklumkan bahawa Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 17 Julai untuk mendengar rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengarahkan agar Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menarik diri daripada mendengar kes bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu.

Julia turut memaklumkan Muhammad Jamil, yang ditugaskan mengambil alih pendengaran kes itu, bahawa pendakwaan telah memohon untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu keputusan rayuan tersebut.

Muhammad Jamil kemudian menetapkan 24 Julai untuk pengurusan kes.

Peguam Tan Hock Chuan mewakili Tengku Adnan.

Ketika ditemui di luar mahkamah selepas pengurusan kes hari ini, Julia memberitahu pemberita bahawa pendakwaan telah meminta agar tarikh pengurusan kes seterusnya ditetapkan selepas rayuan mereka didengar oleh Mahkamah Persekutuan.

"Jika kami berjaya dalam rayuan ini, kes itu akan dikembalikan ke hadapan Hakim Mohd Nazlan, tetapi jika kami gagal, tarikh perbicaraan hendaklah ditetapkan ketika pengurusan kes,” katanya.

Pada 12 Feb lepas, Tengku Adnan berjaya dalam rayuannya agar Mohd Nazlan menarik diri daripada mendengar kes rasuah RM1 juta yang dihadapinya.

Dalam penghakiman setebal 14 muka surat bertarikh 15 Mei, Datuk Rhodzariah Bujang yang mempengerusikan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Mohd Nazlan mungkin berat sebelah meskipun hakim mahkamah tinggi itu telah mengisytiharkan bahawa beliau tidak akan prejudis terhadap Tengku Adnan selepas mendengar kes seorang ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon.

Kes itu kemudian dipindahkan ke hadapan Hakim Mahkamah Tinggi yang lain iaitu Muhammad Jamil.

Pada 20 Sept 2019, Mohd Nazlan menolak permohonan pasukan pembelaan Tengku Adnan agar beliau menarik diri daripada mendengar kes itu.

Permohonan itu dibuat selepas Tan mengaku bersalah pada 17 Sept tahun lepas atas satu pertuduhan alternatif bersubahat dengan Tengku Adnan menerima rasuah sebanyak RM1 juta. Hakim itu telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1.5 juta terhadap Tan.

Pada 15 Nov 2018, Tan mengaku tidak bersalah memberi rasuah kepada Tengku Adnan dengan mendepositkan sekeping cek Public Bank bernilai RM1 juta milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd ke dalam akaun CIMB Bank milik bekas menteri itu sebagai upah kepada Tengku Adnan kerana meluluskan permohonan syarikat Nucleus Properties Sdn Bhd (kini dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan projek di Lot 228, Jalan Semarak di Kuala Lumpur.

Pada hari sama (15 Nov), Tengku Adnan, 69, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM1 juta daripada Tan yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank beliau sebagai upah membantu permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd untuk menaikkan ratio plot syarikat itu berkaitan dengan pembangunan projek sama, yang diluluskan DBKL.

Ahli Parlimen Putrajaya itu turut berdepan satu pertuduhan alternatif menerima rasuah sebanyak RM1 juta daripada Tan dalam kapasitinya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan melalui sekeping cek Public Bank milik Pekan Nenas Industries, yang didepositkan ke dalam akaun CIMB beliau, meskipun mengetahui bahawa Tan, sebagai pengarah Nucleus Properties, mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.

-Bernama