Sultan Johor arah Mainj siasat isu kain rentang anti-Rohingya
Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Pejabat Penghulu sebuah kawasan di sini untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung isu kain rentang anti-Rohingya yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Sultan Ibrahim menerusi hantaran dalam laman Facebook baginda hari ini bertitah meminta semua pihak berhenti daripada menyebarkan khabar angin dan spekulasi berhubung isu tersebut kerana tindakan sedemikian hanya akan menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat.
“Isu kain rentang anti-Rohingya yang tular di laman media sosial baru-baru ini telah mengundang pelbagai reaksi negatif, terutamanya terhadap institusi masjid dan surau di kawasan berkenaan.
“Justeru, saya telah mengarahkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Pejabat Penghulu untuk menjalankan siasatan terperinci seterusnya melaporkan semula terus kepada saya,” titah Sultan Ibrahim.
Baru-baru ini, penggantungan kain rentang anti-Rohingya dengan tulisan “Kami Tak Perlukan Anda Disini” berhampiran sebuah surau di kawasan Plentong, di Johor Bahru, tular di laman sosial.
Sultan Ibrahim turut menasihati semua pihak supaya jangan terburu-buru mengeluarkan kenyataan di media sosial tanpa usul periksa sehingga lupa bahawa perkara yang ditulis berkemungkinan adalah fitnah.
Baginda turut memetik Surah Al-Baqarah, Ayat 217 yang bermaksud,”dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan", dalam hantaran di laman Facebook itu.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai