Skip to main
Logo Malaysiakini

Tengku Zulpuri: Ada tawaran tukar parti tapi kesetiaan saya pada PH

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen DAP Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata walaupun mendapat tawaran untuk beliau menyertai parti pemerintah PN namun kesetiaannya tetap kepada PH.

Tengku Zulpuri yang merupakan ahli parlimen Raub, menafikan dakwaan beliau telah menukar sokongannya.

"Tak betul. Semua itu politik kelakar... Insyallah saya akan bersama PH.

"Susah senang bersama PH, jawatan bukan segala-galanya," kata pemimpin itu.

Tengku Zulpuri, 55, merupakan ahli parlimen penggal pertama setelah menang kerusi Raub pada PRU14 tahun 2018 di mana beliau mengalahkan Chew Mei Fun daripada Barisan Nasional dengan majoriti lebih 3,000 undi.

Sebelumnya, beliau adalah Adun DAP untuk Mentakab.

Ketika ditanya jika beliau telah dihubungi oleh mana-mana pihak yang berkuasa untuk menukar sokongan, Tengku Zulpuri memberikan penjelasannya.

Menurut beliau, tawaran itu datang daripada rakan-rakannya yang berada di dalam Umno dan Bersatu yang mahu beliau menyertai mereka.

Tengku Zulpuri berkata latar belakang parti politik berbeza tidak mengubah persahabatan mereka.

"Kita perlu ada prinsip," katanya.

Desas-desus Tengku Zulpuri keluar PH untuk menyertai gabungan parti pemerintah Perikatan Nasional muncul di tengah persaingan sengit antara parti-parti politik. Kedua-dua PH dan PN dilihat sedang berusaha memancing sokongan anggota parlimen satu sama lain untuk membuktikan bahawa mereka mempunyai majoriti di parlimen.

Terbaru Ahli Parlimen Lubok Antu, Tambat @ Jugah Muyang yang mengumumkan beliau akan meninggalkan PKR pada 5 Jun, untuk menjadi MP bebas tetapi menyokong kerajaan PN.

[Baca berita asal]