Skip to main
Logo Malaysiakini

Abai pekerja asing beri kesan buruk pada ekonomi negara - KRI

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kajian terbaru oleh badan pemikir tempatan Khazanah Research Institute (KRI) berkata bahawa isu kebajikan pekerja asing perlu dilindungi bukan saja atas aspek hak asasi, tetapi juga aspek praktikal.

Jelas KRI, ketika dunia berperang melawan Covid-19, kegagalan melindungi pekerja warga asing akan memberi kesan kepada kesihatan awam dan ekonomi, seperti yang dapat dilihat di negara jiran, Singapura.

"Ia berisiko melemahkan sistem penjagaan kesihatan awam dan melanjutkan tempoh perintah berkurung yang membebankan syarikat-syarikat dan pekerja," menurut tiga penyelidik iaitu Tan Theng Theng, Nazihah Muhamad Noor dan Jarud Romadan Khalidi - dalam kesimpulan dari kertas perbincangan mereka yang bertajuk, "Covid-19: We Must Protect Foreign Workers"  (“Covid-19: Kita Harus Lindungi Pekerja Asing“).

"Begitu juga, jika kita gagal melindungi kebajikan pekerja asing, kita pada dasarnya meletakkan perniagaan dan ekonomi kita di ambang penutupan dan keruntuhan.

"Oleh itu, ketika kita belajar dari pengalaman yang dihadapi oleh Singapura, sangat penting kita meneliti kembali keutamaan kita dalam memerangi wabak itu," kata mereka.

Memetik statistik rasmi kerajaan dan penemuan dari kajiannya yang lalu, KRI menyimpulkan bahawa ekonomi Malaysia telah mewujudkan permintaan yang semakin meningkat untuk pekerja separa mahir dan berkemahiran rendah, yang mana ia masih belum cukup dipenuhi oleh tenaga kerja tempatan.

Antara tahun 2010 dan 2019, KRI mengatakan jumlah rakyat Malaysia dalam tenaga kerja dengan pendidikan tinggi meningkat paling banyak iaitu sebanyak 1.8 juta, diikuti oleh mereka yang berpendidikan menengah sebanyak 1.7 juta.

Bagaimanapun, mereka yang berpendidikan rendah dan tidak formal menurun hampir 450,000 orang.

Justeru, katanya, pengambilan pekerja asing antara lain merupakan jalan keluar untuk ketidakpadanan pasaran tenaga kerja.

"Pada peringkat agregat, kehadiran pekerja asing memberi kesan positif yang sedikit terhadap pekerjaan dan upah tempatan,” katanya.

 

Mengambil kira kebergantungan terhadap pekerja asing dalam sektor ekonomi tertentu, KRI berkata sokongan yang tidak mencukupi untuk memelihara hubungan antara majikan dan pekerja asing akan berisiko kehilangan hampir 50 peratus pekerja dari jumlah keseluruhan pekerja berkemahiran rendah, terutamanya di sektor pertanian, pembinaan dan pembuatan.

Untuk mengatasi masalah itu, institut tersebut mengatakan bahawa sangat penting bagi Malaysia beralih dari pusat tahanan ke model rawatan dalam mengawal jangkitan dalam kalangan pekerja warga asing.

Ia termasuk peranan kerajaan untuk meyakinkan sejumlah besar warga asing tanpa dokumen untuk tampil menjalani pemeriksaan atau rawatan, tanpa rasa takut ditahan dan dihantar pulang.

"Dalam krisis yang belum pernah terjadi seperti ini, melindungi perniagaan kita dapat mencerminkan langkah radikal untuk membenarkan semua pekerja tanpa dokumen dan meletakkan mereka bawah langkah pengekalan pekerjaan (job retention measures) untuk semua pekerja asing," kata KRI.

Pada fasa awal perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), Foo Chek Lee mengatakan sektor pembinaan dijangka menghadapi kekurangan tenaga kerja dengan anggaran industri tersebut bahawa hanya 450,000 dari satu juta pekerjanya adalah "pekerja sah berdaftar".

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berulang kali mempertahankan tindakan keras terhadap pekerja asing tanpa dokumen, walaupun terdapat jaminan awal sebelum ini daripada kerajaan bahawa mereka hanya akan diuji untuk Covid-19 sebagai sebahagian daripada usaha mengekang penularan wabak Covid-19.