Skip to main
Logo Malaysiakini

Dalam ucapan perpisahan, CEO Petronas ingatkan tentang prinsip

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dalam ucapan perpisahan, presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas yang akan menamatkan perkhidmatannya, Wan Zulkiflee Wan Ariffin menggesa rakan-rakannya agar sentiasa memegang prinsip mereka.

Dalam pesanan video yang dirakam kepada rakan-rakannya, Zulkiflee berharap Petronas terus dipimpin oleh individu yang mempunyai keberanian dan keyakinan.

"Selalunya, jika memegang amanah, anda akan berdepan pilihan konflik dan keputusan yang sukar.

"Kadang kala berpegang pada prinsip anda mungkin terbukti tidak menarik dan benar-benar tidak popular. Ini adalah jalan sunyi yang mesti dilalui oleh pemimpin sejati.

"Pada akhirnya, melakukan perkara yang betul membolehkan anda memiliki ketenangan fikiran, kejelasan hati nurani setelah melaksanakan amanah - tanggungjawab anda dengan kejujuran dan kehormatan," kata Zulkiflee.

Zulkiflee, 60, meninggalkan jawatannya di Petronas setelah berkhidmat selama 37 tahun di syarikat itu. Dia memulakan kerjayanya di Petronas sebagai jurutera proses di Kerteh dan menjadi peneraju syarikat itu pada 2015.

The Edge sebelum ini memetik sumber yang mengaitkan perkembangan itu dengan rancangan untuk meminda Akta Pembangunan Petroleum.

Sumber-sumber dipetik laporan itu berkata bahawa Wan Zulkiflee didakwa menentang rancangan untuk meminda undang-undang tersebut.


Berita berkaitan: Peletakan jawatan CEO Petronas dikaitkan dengan pindaan akta petroleum, Warisan


Petronas adalah penyumbang yang signifikan terhadap pendapatan kerajaan. Pada 2019, syarikat tersebut membayar dividen normal sebanyak RM24 bilion kepada kerajaan, yang jumlahnya kurang daripada 10 peratus jumlah pendapatan kerajaan.

Sementara itu, Zulkiflee berkata, dia merasa tenang kerana dia meninggalkan Petronas lebih berdaya tahan dan berharap generasi pemimpin syarikat masa depan akan terus membawa kemajuan kepada Petronas.

"Rakan-rakan sekerja yang terhormat, saya percaya semua perkara berlaku atas sebab tertentu. Kitaran hidup terus berubah dan perubahan adalah satu-satunya yang berterusan.

"Ketika saya bersiap untuk menyerahkan tongkat ke generasi berikutnya, saya berharap Petronas akan diberkati dengan kejayaan yang berterusan walaupun keadaan dan cabaran akan berbeza untuk setiap era.

"Perjalanan kami dengan Petronas bukanlah singkat. Sejak tahun 1974, ini merupakan tempat satu generasi mempersiapkan generasi berikutnya untuk membawa organisasi ini ke tahap yang lebih tinggi.

"Sesungguhnya, saya yakin dengan pandangan bahawa tidak ada kejayaan tanpa pengganti. Pencapaian yang berkekalan hanya dapat dicapai jika ia berterusan setelah kita lama pergi," katanya.

Pada 1 Julai, Zulkiflee akan digantikan oleh ketua pegawai kewangan Petronas sekarang Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.