Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: 8 kes baru, 1 kematian, jumlah kes aktif bawah 1,000

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sebanyak lapan lagi kes baru Covid-19 direkodkan hari ini yang terdiri daripada dua kes import dan enam kes penularan tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, enam kes penularan tempatan itu terdiri daripada dua warganegara dan empat warga asing.

"Kesemua keempat-empat kes jangkitan dalam negara di kalangan bukan warga negara adalah dari kluster tapak pembinaan Kuala Lumpur 2," katanya pada sidang media harian Kementerian Kesihatan di Putrajaya hari ini.

Noor Hisham turut memaklumkan buat pertama kali sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 mencatat bawah angka 1,000 iaitu sebanyak 986 kes.

Beliau berkata kedua-dua kes terbaru melibatkan warganegara membabitkan satu kes saringan klinikal kes Influenza Like Illness (ILI) di Bintulu, Sarawak dan satu kes saringan pusat jagaan warga emas di Melaka Tengah

Bagi dua kes import tersebut, beliau berkata mereka bukan warganegara dan memegang status penduduk tetap.

Pada masa ini, tiada warga asing dibenarkan masuk ke negara ini kecuali mereka yang berada di bawah program Malaysia My Second Home (M2HH).

Noor Hisham juga memaklumkan satu kematian baru melibatkan seorang warganegara India, menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 kini sebanyak 121 kes.

Menurutnya, mangsa yang berumur 67 tahun merupakan tahanan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung serta penyakit buah pinggang. 

Manakala empat kes lagi sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Sementara itu Noor Hisham berkata sebanyak 35 kes telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

"Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 7,346 kes atau 86.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Data yang dikeluarkan hari ini adalah dalam tempoh 24 jam sehingga tengah hari hari ini.

Sebanyak 9,279 ujian swab Covid-19 dijalankan semalam menerusi makmal kerajaan.

Bagaimanapun, makmal swasta masih belum melaporkan jumlah terbaru ujian swab kepada kerajaan.

Hari ini juga merupakan taklimat dan sidang media harian terakhir Kementerian Kesihatan berhubung Covid-19. 

Mulai minggu depan dan seterusnya, taklimat dan sidang media akan diadakan pada setiap hari Isnin dan Khamis.

Noor Hisham turut mengulangi nasihat kepada rakyat Malaysia agar menghindari tempat sesak, kawasan yang sempit dan elak bersembang daripada jarak yang dekat atau disebutnya sebagai "3S", sebagai langkah mencegah Covid-19.

Beliau juga mengingatkan orang ramai, antaranya kerap mencuci tangan dengan sabun, memakai pelitup muka di tempat awam dan mematuhi arahan  Kementerian Kesihatan seperti mengelakkan daripada bersalam dan amalkan etika ketika batuk serta bersin.