Skip to main
Logo Malaysiakini

Laporan: Adakan PRU untuk tamatkan ketidakpastian - Nazri

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pilihan raya mengejut dapat menghentikan ketidaktentuan majoriti di Parlimen antara Perikatan Nasional (PN) dan PH, menurut Anggota Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz.

Justeru, bekas menteri itu menggesa ia diadakan apabila wabak Covid-19 terkawal bagi menamatkan "permainan ping pong" antara dua gabungan itu.

“Hari ini PN kata ada sokongan dan esoknya PH kata ada sokongan dan kemudian PN membalas. Hentikan ketidakpastian ini dan ayuh kita berpilihan raya," katanya seperti dipetik Free Malaysia Today.

Minggu lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dilaporkan sedang mempertimbang untuk mengadakan pilihan raya paling awal hujung tahun ini, bagi mendapatkan mandat baru untuk pentadbirannya.

Beliau dilaporkan telah menyatakan perkara itu dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 4 Jun lalu, serta dalam siri taklimat dengan ketua-ketua bahagian kemudiannya.

Mengulas lanjut, Nazri berkata PH mungkin belum mendapat sokongan secukupnya untuk mengambil semula kerajaan persekutuan memandangkan gabungan itu tidak menunjukkan bukti seperti akuan bersumpah anggota Parlimen yang menyokong mereka.

Beliau turut menyuarakan sokongan kepada pentadbiran Muhyiddin yang disifatkannya sebagai pilihan paling popular dan telah menunjukkan kemampuan sebagai perdana menteri setakat ini.

Jika pilihan raya diadakan, beliau berharap Umno, PAS dan Bersatu dapat mencapai persetujuan mengenai agihan kerusi memandangkan semua parti itu mungkin menyasarkan kerusi yang sama.

“Pastikan PN ada majoriti yang kuat dan selepas itu kita betul-betul hentikan permainan ini," katanya lagi.

Pada 2018, Umno dan PAS bertembung di 105 kerusi Parlimen, dan PAS juga bertembung dengan parti komponen BN lain melebihi 49 kerusi.

Umno dan PAS telah berjanji untuk tidak lagi bertanding di kerusi sama dalam pilihan raya akan datang. Dengan kemasukan Bersatu dalam isu ini, peruntukan kerusi dalam PN menjadi satu perkara yang menarik untuk diperhatikan.