Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: Wartawan Malaysia turut dinobatkan ‘wira maklumat’

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang wartawan Malaysia dinobatkan sebagai salah seorang “wira maklumat” oleh pemantau kebebasan media antarabangsa Wartawan Tanpa Sempadan (RSF).

Tashny Sukumaran, koresponden akhbar Hong Kong South China Morning Post, disenaraikan bersama 29 lagi pihak daripada pelbagai negara susulan laporannya berkaitan pandemik Covid-19.

Beliau sebelum ini disiasat berhubung ciapan berkaitan serbuan imigresen ke Selangor Mansion, Kuala Lumpur, semasa dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

RSF yang berpangkalan di Paris mengemukakan senarai itu sebagai penghargaan atas keberanian menyampaikan maklumat ketika penyebaran wabak ini.

Turut disenaraikan ialah kumpulan media Rumah Putih yang sering mengasak presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan mendiang Li Wenliang, doktor pertama yang menyuarakan kebimbangan berkaitan penyebaran Covid-19.

Tashny pada 6 Mei lalu disoal siasat polis bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seksyen 504 membabitkan kesalahan sengaja mengaibkan dengan niat mahu memecahkan keamanan. Jika disabitkan kesalahan, seseorang itu boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia pula melibatkan kesalahan berkongsi kandungan yang menyinggung perasaan serta mengancam yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed, sebelum ini berkata polis akan tetap menjalankan siasatan ke atas Tashny walaupun Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah, mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menghentikan siasatan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob, berkali-kali menafikan dakwaan berlaku layanan tidak wajar ke atas pendatang asing semasa dan selepas serbuan berkenaan.