Skip to main
Logo Malaysiakini

SKMM gesa bekas CEO PNB lapor dakwaan gangguan pada pihak berkuasa

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Susulan pendedahan bekas presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Perbadanan Nasional Berhad (PNB) Abdul Rasheed Jalil berhubung gangguan yang dihadapi ketika menyandang jawatan tersebut, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menggesa beliau melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh jabatan komunikasi korporatnya, SKMM berkata pihaknya memandang serius gangguan yang didakwa oleh Abdul Rasheed melalui panggilan telefon, e-mel dan profil Linkedin beliau.

“SKMM memandang serius berhubung dakwaan oleh mantan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Abdul Jalil Rasheed bahawa beliau telah menerima gangguan panggilan daripada nombor tidak dikenali, serta berlakunya penggodaman ke atas akaun e-mel korporat dan profil Linkedin miliknya.

“Sehubungan itu, beliau dinasihatkan untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SKMM untuk penelitian serta siasatan lanjut,” menurut kenyataan tersebut hari ini.

Semalam, dalam sesi townhall dengan kakitangan PNB mengenai peletakan jawatannya, Abdul Jalil berkata beliau memilih "jalan sukar" untuk melepaskan jawatan, sambil pada masa sama perlu berperang dengan hati nuraninya sendiri.

Abdul Jalil turut mendedahkan bahawa beliau menghadapi gangguan semasa memegang jawatan sebagai CEO dan presiden kumpulan PNB.

"Paling keterlaluan bagi saya adalah gangguan yang harus saya alami akibat panggilan dari nombor yang tidak dikenali, akaun e-mel korporat saya dan profil LinkedIn saya digodam.

"Ini membuatkan saya semakin bimbang tentang kesejahteraan keluarga saya.

"Pada akhirnya, saya memutuskan bahawa tidak adil bagi keluarga saya sekiranya masalah ini berterusan.

"Keluarga saya membuat pengorbanan yang besar, juga dari segi kewangan untuk berpindah kembali ke KL dari Singapura kerana saya benar-benar ingin menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

PNB, dalam satu kenyataan dua jam selepas sesi townhall berkenaan, mengesahkan peletakan jawatan Abdul Jalil.