Skip to main
Logo Malaysiakini

100 hari ‘tanpa sekolah’

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tarikh 18 Mac 2020 adalah tarikh penting bermulanya negara Malaysia dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), suatu arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menutup hampir kesemua operasi industri dan komersial yang bukan essential termasuklah penutupan institusi pendidikan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga telah mengumumkan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat mulai murid tingkatan lima dan enam mulai 24 Jun 2020.

Ini bermakna, sekurang-kurangnya sebanyak 106 hari murid tidak hadir ke sekolah.

Sewajarnya, pada ketika ini, pandangan sarwa kita terhadap kehidupan seharian seharusnya telah berubah.

Segalanya tidak boleh lagi sama seperti sebelum seluruh dunia diserang covid-19. Kita perlu memulakan suatu kebiasaan baharu.

Dalam konteks pendidikan, malangnya kebiasaan baharu masih tidak berlaku.

Rata-rata, masih melihat persekolahan dalam paradigma berpusatkan sekolah, dan bukan paradigma berpusatkan murid.

Maka, kita melihat walaupun pembelajaran sudah bertukar mediumnya kepada medium bersifat maya, namun fokus guru masih kepada penyampaian kandungan, dan bukan kepada proses pembelajaran.

Lupakanlah soal falsafah pendidikan kebangsaan yang menghasratkan perkembangan potensi murid secara menyeluruh baik secara rohani, emosi, jasmani dan intelek.

Habis hilang kesemuanya dek kecenderungan lebih utama untuk ‘mengajar’ dan bukan untuk ‘mendidik’.

Kita menyaksikan, kaedah pembelajaran masih berpusatkan guru, masih berpusatkan ujian, dan guru masih melaksanakan pembelajaran secara maya tanpa perancangan yang teliti, rapi dan holistik.

Sedangkan konsep pembelajaran perlulah berubah kepada pembelajaran mengikut persekitaran dan pembelajaran bermakna.

Malah, di pihak pengurusan juga sama; masih memberikan tekanan yang berlebihan dalam kebiasaan seolah-olah persekolahan seperti biasa, tanpa mengira bahawa fokus murid dalam mengikuti pembelajaran maya adalah berbeza berbanding secara bersemuka.

Iklim persekitaran murid juga jauh berbeza, namun diberikan layanan yang sama.

Sama ada sedar atau tidak, kita melayani perubahan kejutan belajar dan mengajar ‘tanpa sekolah’ dengan model yang sama seperti belajar dan mengajar di sekolah.

Dengan kata lain, kejutan budaya baharu ditanggapi dengan budaya biasa-biasa, yang kemudiannya kita labelkan sebagai ‘kebiasaan baharu’. Akibatnya, bukan sahaja guru yang tertekan, murid dan ibu bapa juga tertekan dengan keadaan ini.

Hilang dari grup Whatsapp

Akhirnya, kita melihat peristiwa yang bukan sahaja murid menghilang dari grup Whatsapp kelas, khususnya murid di ‘kelas belakang’, malah terdapat ibu bapa yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kerja rumah yang diberikan.

Asasnya, kita perlu menyedari bahawa pembelajaran itu sendiri adalah proses bersosial.

Maksudnya, pembelajaran maya berhadapan dengan cabaran menghasilkan ‘pembelajaran bermakna’ apatah lagi untuk menerapkan kemahiran sosial berbanding dengan pembelajaran secara bersua muka.

Sebab itu, kita tidak dapat menolak salah satu motivasi utama anak-anak ke sekolah adalah untuk berkawan; suatu yang tidak diperoleh apabila terperuk di rumah.

Dalam pemerhatian kita, guru sebenarnya berusaha gigih untuk memastikan pembelajaran terus berlaku dengan membuat pembaikan dalam e-pembelajaran, yang mereka sendiri tidak begitu memanfaatkannya sebelum terjadinya Covid-19, sedangkan inisiatif KPM seperti 1Bestarinet dan kewujudan platform VLE Frog dan GoogleClassroom bukanlah baru wujud sehari dua ini.

Hakikatnya, Covid-19 adalah pemangkin dan faktor penarik yang amat berkesan. Sayangnya, yang berubah hanyalah medium penyampaian, namun paradigma pembelajaran masih sama.

Kita juga melihat bahawa tiada sistem sokongan kepada ibu bapa. Pada waktu inilah, peranan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) perlu diperkukuhkan dalam konteks waktu ini, yang mana terus tenggelam.

Inisiatif sarana ibu bapa, yang perlu membantu pihak sekolah sewajarnya dikembangkan kepada membantu sesama ibu bapa. Sesungguhnya, peranan ibu bapa juga sangat kritikal pada waktu ini, namun kita melihat kemahiran keibubapaan teruji dengan meningkatnya isu seperti kesihatan mental dan isu keganasan rumah tangga akibat kesenjangan ilmu keibubapaan.

Secara tidak langsung, ini menunjukkan kurangnya keupayaan dan kemahiran ibu bapa dalam mengawal anak-anak untuk tinggal dan belajar di rumah pada masa yang panjang.

Hakikatnya, sama ada kita sedari atau tidak, yang lumpuh ini bukan sekadar sokongan ibu bapa, tetapi keseluruhan ekosistem sokongan, daripada ibu bapa, murid, guru, pentadbir dan barangkali kurikulum itu sendiri.

Sebenarnya, KPM telah lama mengajak dan mempromosikan pembelajaran berpusatkan murid, pembelajaran secara konstruktivis, secara berasaskan projek, secara modular, dan lain-lain pendekatan pembelajaran abad ke-21.

Namun, hakikatnya, yang berlaku malah sebelum tempoh PKP lagi, murid telah dibiasakan dengan pembelajaran yang bersifat pasif, berpusatkan peperiksaan, dan dibentuk agar sentiasa memerlukan bimbingan orang dewasa. Justeru, apabila ketika pembelajaran maya yang memerlukan murid untuk belajar secara kendiri, sistem penyampaian pendidikan benar-benar telah teruji.

Tempoh PKP telah menjadi medan ujian atau stress-test kepada pengamalan dan penyampaian sistem pendidikan kita.

Daripada tempoh 100 hari, kita boleh berikan kad laporan pencapaian kepada KPM, bahawa ‘jantung’ sistem pendidikan kita, iaitu paradigma guru dan murid dalam memaknakan persekolahan dan pendidikan perlu diberikan rawatan yang segera, dan tidak boleh dilengahkan lagi.

Menambah tempoh persekolahan maya secara total, akan membuka lagi ruang falasi untuk kebiasaan baharu persekolahan; membiasakan yang salah namun disangka betul; dan ini baru 106 hari.


RADIN MUHD IMADUDDIN RADIN ABDUL HALIM ialah Naib Presiden (Pendidikan, Kebudayaan dan Kenegaraan) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.