Skip to main
Logo Malaysiakini

JK p'raya parlimen syor kempen rumah ke rumah dibenar dengan syarat ketat

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PRK CHINI | Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Pilihan Raya, Syed Ibrahim Syed Noh menyatakan kebimbangan terhadap beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang akan dilaksanakan untuk pilihan raya kecil (PRK) Chini.

Ini termasuk larangan kempen dari rumah ke rumah dan ceramah.

Walaupun menyambut baik langkah-langkah untuk mencegah penyebaran Covid-19 dalam tempoh kempen, Syed Ibrahim menyorot bahawa Chini adalah kawasan luar bandar.

"Kami agak bimbang dengan syarat-syarat kaedah kempen terutama apabila Chini dikenali sebagai kawasan luar bandar dan penempatan warga Felda dan Orang Asli.

"Meskipun kita berada dalam krisis Covid-19, prinsip pilihan raya yang adil dan bebas serta prinsip proses demokrasi wajar ditegakkan.

Jaminan terhadap prinsip-prinsip tersebut amatlah penting ke arah keabsahan pilihan raya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, Syed Ibrahim, yang juga ahli parlimen Ledang, mengesyorkan supaya SPR bekerjasama dengan saluran media kerajaan dan swasta untuk memastikan pencapaian yang munasabah dan adil (masa ke udara yang saksama) diberikan kepada calon-calon untuk menyampaikan pandangan dan komitmen mengapa mereka perlu dipilih.

"Saya difahamkan pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) telah bersedia untuk menyediakan tambahan kapasiti dan liputan internet sekiranya SPR memutuskan untuk menggalakkan kempen dalam PRK Chini dilakukan melalui media sosial.

"Apa yang diperlukan sekarang ialah untuk melebarkan liputan melalui saluran media perdana kerajaan dan swasta terutamanya televisyen dan radio.

"...Saya juga percaya kempen rumah ke rumah masih boleh dibenarkan dengan syarat-syarat yang ketat iaitu dengan mematuhi penjarakan sosial, memakai pelitup separuh muka dan tidak melebihi 4 orang, atas sebab-sebab di atas.

"Sudah tentu rundingan sewajarnya dilakukan terlebih dahulu dengan pihak berwajib seperti Kementerian Kesihatan dan pihak polis," katanya, yang juga ketua PKR Johor.

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Azhar Harun mengumumkan SOP akan dilaksanakan mulai hari penamaan calon pada 20 Jun hingga pengundian pada 4 Julai.

Empat aspek utama yang harus diliputi adalah mematuhi garis panduan jarak sosial, memakai pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan merakam suhu badan.

Selain tidak ada ceramah dan kunjungan rumah ke rumah, perarakan atau perhimpunan tidak akan dibenarkan pada hari penamaan calon dan hari pengundian.

Dalam kenyataannya hari ini, Syed Ibrahim juga meminta agar SPR dan kerajaan mengemukakan pindaan terhadap undang-undang dan prosedur pilihan raya yang relevan untuk mencerminkan "normal baru" setelah Covid-19.

Dia juga menambah bahawa Jawatankuasa Pemilihan Parlimen dapat memainkan peranan penting untuk berfungsi sebagai semak dan imbang kepada SPR dan kerajaan Serta dapat membantu meringankan proses reformasi pilihan raya, seperti yang disarankan oleh Jawatankuasa Pembaharuan Pemilihan (ERC).

Malaysiakini sudah menghubungi Azhar untuk mendapatkan respons.

Kerusi Chini kosong setelah penyandangnya, Abu Bakar Harun, 60, dari Barisan Nasional, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung pada 6 Mei.

Pada PRU14 pada 2018, Abu Bakar memperoleh 10,027 undi untuk memenangi kerusi itu dengan majoriti 4,622 undi berbanding calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang memperoleh 5,405 undi dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR (1,065 undi).