Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: 10 kes baru, 140 pulih, tiada kematian

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Malaysia terus mencatatkan jumlah kes pulih dan dibenarkan discaj yang tinggi manakala kes baru terus menurun.

Hari ini sebanyak 10 kes baru diumumkan berbanding 11 pada semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,515 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 521 kes.

“Daripada sepuluh kes penularan di dalam negara, tiga kes adalah bukan warganegara manakala tujuh kes adalah di kalangan warganegara Malaysia,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Semua kes baru hari ini adalah dari penularan tempatan.

Beliau turut memberi perincian kes penularan Covid-19 dalam negara di kalangan warganegara Malaysia.

Selangor - lima kes

  • Empat kes Kluster Warga Emas Kuala Selangor, iaitu kontak rapat kepada kes positif Covid-19 (kes ke-8490).
  • Satu kes saringan pusat Tahfiz;

Sarawak - satu kes

  • Kes kontak rapat kepada kes positif Covid-19 (kes ke-8453). Beliau juga merupakan ahli keluarga kepada kes ke-8453;

Sabah - satu kes

  • Kes kontak rapat kepada kes positif Covid-19 (ke-8403 iaitu kes kematian ke-120).

Bagi tigas kes jangkitan dalam negara di kalangan bukan warganegara, perinciannya adalah seperti berikut:

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur - satu kes

  • Kes kontak rapat kepada kes positif Covid-19 (kes ke-8455);

Negeri Sembilan - satu kes.

  • Kes di Akademi Imigresen Malaysia, Port Dickson di mana kes ini merupakan Orang Kena Tahan (OKT) yang dipindahkan ke sana daripada Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil.

Sabah - satu kes

  • Kes saringan pra pembedahan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS).

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, sebanyak empat kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 121 kes atau 1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga memaklumkan bahawa terdapat 140 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Justeru, jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 7,873 kes atau 92.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.