Skip to main
Logo Malaysiakini

MB: Isu bekalan air Kedah dijangka selesai 2023

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Isu gangguan bekalan air yang sering dihadapi penduduk di Kedah dijangka selesai pada 2023 sebaik sahaja pembinaan empat loji rawatan air (LRA) siap sepenuhnya.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata kesemua projek pembinaan LRA itu sudah ditender oleh kerajaan sebelum ini, dan sebaik sahaja proses tender selesai, kontraktor akan dilantik segera.

"Kerajaan Persekutuan akan sediakan peruntukan untuk pembinaan empat LRA dan setiap projek ambil masa dua atau tiga tahun, jadi paling lambat pun pada 2023 kita akan ada infrastruktur yang baik untuk bekalan air.

"Kita akan pastikan setiap projek mengikut jadual, kita nak segera beri perkhidmatan keperluan ini kepada rakyat dan harap dapat selesaikan masalah air di Kedah yang telah berlarutan sejak berpuluh tahun ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Alor Setar, hari ini.

Empat projek baru yang sudah ditender itu ialah pembinaan LRA Lubuk Buntar Lama, LRA Sungai Limau, LRA Bukit Selambau dan LRA Jenun Baru, yang kos keseluruhannya berjumlah lebih RM900 juta.

-Bernama