Skip to main
Logo Malaysiakini

DAP hancur Melayu? - Bahagian II

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN l DAP akan hancur orang Melayu - demikian dakwaan Najib Razak dan Muhyiddin Yassin.

Apakah benar orang Melayu mudah dihancur sehingga sebuah parti politik pun boleh hancur orang Melayu?

Apa buktinya dalam sejarah orang Melayu dihancur?

Bagi Melayu yang takut dihancur ingin saya rujuk kepada sejarah orang Melayu.

Ya. Memang mereka lemah dari segi kewangan. Tetapi mereka tidak hancur. Diserang dan ditawan oleh Portugis, Belanda dan British. Melayu tidak hancur.

Ditawan sebahagian oleh Siam, Melayu tidak hancur. Dikuasai oleh Jepun, bangsa Melayu terus kekal tidak jadi seperti tamadun Mesir yang sudah hilang, tamadun Greek (Yunani) yang runtuh, tamadun Rom, tamadun Aztec, tamadun-tamadun asli Amerika Tengah dan Selatan yang dihancur dan banyak lagi.

Semasa semua tamadun dan negara-negara ini muncul, tubuh dan diri tamadun mereka bangsa Melayu berada dan turut berada

British balik dan cuba rampas Tanah Melayu - mereka gagal. Melayu tuntut kemerdekaan dari sebuah kuasa besar, berjaya.

Setelah ambil alih negara, pentadbiran Melayu selamatkan negara dari gerila komunis - mereka dirikan kerajaan yang berwibawa, maju berbanding dengan tanah jajahan orang Eropah yang lain, yang hancur jadi serbuk, tidak stabil, tidak maju, tetapi Malaysia dapat ditadbir dengan baik, maju dan Melayu tidak hancur.

Orang Melayu memalukan British apabila paksa British gugurkan Malayan Union setelah dirasmi hanya dua tahun.

Apabila merdeka pada 1957, Malaysia diancam dengan gerila komunis. Pentadbiran Melayu yang ambil alih dari British berjaya mengalahkan pengganas pada 1960, hanya tiga tahun lepas mentadbir sendiri negara yang baru merdeka.

Pentadbiran Melayu, pimpinan Melayu dapat majukan negara lebih dari British.

Pada 1969, rusuhan kaum berlaku – tidak seperti negara lain, termasuk Amerika Syarikat (AS) kita selesai masalah dan negara terus maju.

British tidak hormat kita. Kita orang Melayu tolak barangan British dan British tunduk.

Penyangak mata wang serang kita. IMF dan World Bank nasihat supaya kita beri kuasa kepada mereka untuk tangani masalah ini. Kita, orang Melayu tolak IMF, tolak World Bank dan kita banteras penyangak mata wang dengan cara kita sendiri.

Dalam dunia kita orang Melayu sahaja yang berani tolak pendapat seluruh dunia. Secara terbuka kita kutuk Bush kerana serang Iraq, kerana cetus rusuhan di negara-negara Islam, kerana sokong Israel. Demikian juga dengan Trump.

Di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, ita terang-terang tolak pendirian AS berkenaan Israel.

Dalam dunia hanya pemerintahan Melayu sahaja yang tegur kuasa besar apabila mereka lakukan kesalahan.

Inilah Melayu apabila mendiri pemerintahan 96 peratus Melayu selepas merdeka. Kita tidak takut, kita berani dan kita berjaya.

Tetapi ada Melayu yang takut kepada DAP. Konon DAP boleh hancur orang Melayu. Orang yang bacul macam ini tidak layak panggil diri mereka Melayu. Demikian juga orang yang terikut-ikut dengan orang Melayu bacul seperti ini.

DAP bukan institusi dunia seperti IMF dan World Bank. DAP hanya parti politik. Apa yang ada pada DAP yang perlu kita takut dihancur oleh mereka.

Wahai Melayu,

Bersikap beranilah sedikit,

Konon saya dikuasai DAP,

Konon Pakatan Harapan (PH) dikuasai DAP,

Tak masuk akal.

Kamu ditipu oleh Najib yang takut kena penjara. Setelah ditolak rakyat, Najib mempermain ketakutan orang Melayu untuk kembali diterima ke dalam kerajaan pintu belakang.

Dengan mengguna orang Melayu yang hendak sangat jadi perdana menteri, Najib berjaya. Sekarang anak tirinya terlepas. Jika rakyat tidak bantah, dan dengan izin Muhyiddin, Najib juga boleh terlepas dari penjara.

Bolehkah kita fikir Najib berusaha bantu Muhyiddin menjadi perdana enteri dan dia sendiri masuk penjara? Bolehkah kita terima Najib begitu murah hati?

Fikirlah.


DR MAHATHIR MOHAMAD ialah bekas perdana menteri dan MP Langkawi.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.