Skip to main
Logo Malaysiakini

Penganalisis: Tak mudah harapkan Umno berkorban demi Bersatu

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Masih sukar dijangka bagaimana acuan gabungan parti dalam Perikatan Nasional (PN) khususnya Umno, PAS dan Bersatu untuk menentukan formula kerjasama mendepani pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Namun, apabila seorang anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Wan Saiful Wan Jan melontarkan pandangan betapa perlunya Umno berkorban supaya PN menjadi gabungan yang lebih stabil dan tidak menjadi parti dominasi seperti BN, ia membuka ruang untuk perkara itu diteliti.

Pengalisis berpendapat mustahil untuk Umno memberi ruang mudah kepada Bersatu lebih-lebih lagi menyerahkan kerusi yang mereka tandingi setiap kali pilihan raya.

Penganalisis politik Dr Mazlan Ali berkata, apa yang diperkatakan Wan Saiful itu boleh dilihat dalam kerangka bagi memastikan Bersatu dapat mengekalkan survival politik mereka sehingga PRU15.

"Bagaimanapun saya menilai apa yang dinyatakan Wan Saiful itu tidak akan dipertimbangkan oleh Umno. Saya fikir ia satu permintaan yang sangat berat untuk dipertimbangkan oleh Umno.

"Ini kerana Umno sebuah parti Melayu yang begitu lama dalam kancah politik Malaysia.

"Maka permintaan Bersatu sebagai parti serpihan Umno itu adalah satu yang tidak munasabah. Jika mahu dibandingkan, Umno ialah parti mempunyai cawangan terbanyak di Malaysia dengan keahlian lebih tiga juta dan umumnya disokong orang Melayu," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi, semalam.

PAS pun belum ada formula

Dalam aspek kerusi pula, Mazlan berkata, ada sekitar 130 kerusi parlimen yang Melayu menjadi majoriti dan selama ini ia adalah kawasan tradisi Umno.

Jelasnya, kerusi-kerusi itu adalah kerusi Umno dan walaupun berpuluh-puluh tahun mereka bersaing dengan PAS. Katanya Umno kekal menguasai kawasan majoriti Melayu.

"Malah pernah satu ketika Umno memenangi lebih 80 kerusi parlimen.

"Dengan memberi ruang kepada Bersatu yang didakwa meminta 50 kerusi untuk bertanding, pada saya itu sesuatu yang sukar untuk diterima oleh Umno kerana ini bererti mereka akan hilang kedudukan sebagai parti yang mendominasi politik orang Melayu.

"Sedangkan tanpa Bersatu atau PN, Umno bersama PAS dalam Muafakat Nasional masih mampu memenangi PRU15 dengan bilangan kerusi meyakinkan.

"Jadi bagaimana Umno boleh menyerahkan dengan mudah kerusi mereka kepada Bersatu sedangkan dengan PAS sendiri pun mereka belum ada formula dan pengalaman untuk mengagihkan kerusi," kata Mazlan yang juga Pensyarah Kanan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Mazlan Ali

Sementara itu Prof Dr Azman Awang Pawi pula berpandangan, dalam konteks kewujudan PN ia perlu melihat keperluan sebenar sebelum melihat parti mana perlu berkorban.

Katanya, perlu diambil kira apakah rasional Bersatu mahu bertanding 50 kerusi sedangkan pencapaian sebenar mereka dalam PRU sebelum ini hanyalah 13 kerusi sahaja mampu menang.

"Ada lima kerusi yang dimenangi Bersatu sebelum ini disandang oleh kem yang bukan sekutu Muhyiddin termasuk kerusi Parlimen Langkawi disandang Dr Mahathir Mohamad.

"Selain itu soal kerusi yang melompat dari Umno ke Bersatu, sudah pasti Umno mahu mengambil alih kerana ia merupakan kerusi tradisi milik mereka.

Gambar fail

"Baru-baru ini Umno bermesyuarat untuk menilai kedudukan dalam PN dan MN serta mahukan Umno memainkan peranan yang lebih sesuai dengan sejarah parti yang panjang, teras perjuangan yang konsisten, kerusi yang dominan, sehinggalah berlakunya perpecahan, keluar parti dan dipecat hingga Umno menjadi tak popular, kesannya muncul Bersatu sebagai parti alternatif," katanya.

Kata pensyarah Universiti Malaya itu, hakikatnya konsep pengorbanan parti adalah bersifat subjektif dan dalam dinamika politik menyebabkan perubahan tidak terjangka.

"Pelbagai kemungkinan boleh berlaku, antaranya Umno ada pilihan untuk hanya kekal bersama PN selagi parlimen tidak dibubar.

"Hal ini kerana Umno mempunyai hala tuju sendiri dan tidak mudah Umno menerima yang dipecat atau khianat kepada mereka sebelum ini.

"Sebagaimana PAS sukar menerima Amanah untuk bekerjasama, begitu juga akar umbi Umno sukar menerima Bersatu yang sebelum ini menjadi seteru dengan pelbagai tohmahan dilabelkan," katanya.