Skip to main
Logo Malaysiakini

Saksi: Zahid beri saya RM1.4 juta tunai, tanpa kontrak, tanpa resit

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang kontraktor yang menjalankan ubah suai terhadap sebuah banglo mengaku menerima bayaran berjumlah lebih RM1.4 juta daripada bekas Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi tanpa menyediakan sebarang resit sepanjang menyiapkan kerja ubah suai tersebut.

Kata Marzuki Che Omar, 56, urusan ubah suai yang menelan kos keseluruhan RM 1,424,643.40 itu dibuat atas dasar kepercayaan sahaja.

“Semua bayaran saya terima adalah secara tunai di Surau An-Nur Country Height daripada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sama ada selepas solat Subuh atau pun selepas solat Zohor.

“Saya akan pergi ke Surau An-Nur apabila diberitahu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan buat bayaran.

“Saya sahkan tiada kontrak bertulis dibuat untuk kerja-kerja ubah suai ini. Saya juga tiada keluar apa-apa resit terima bayaran.

“Saya mendapat arahan dari Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi secara lisan sahaja. Urusan ini dibuat atas dasar kepercayaan sahaja,” katanya dalam pernyataan bertulisnya.

Marzuki merupakan saksi ke-70 yang hadir ke perbicaraan kes pecah amanah (CBT), rasuah, dan pengubahan wang haram melibatkan Ahmad Zahid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

“Saya dimaklumkan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa ubah suai banglo ini adalah untuk kegunaan Yayasan Al-Falah bagi menempatkan golongan orang tua untuk belajar agama,” kata pengarah urusan syarikat Tekad Nusantara Sdn Bhd itu lagi.

Ketika ditanya timbalan pendakwa raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi dalam pemeriksaan utama, sama ada bayaran diterimanya secara sekaligus atau secara berperingkat, Marzuki menjawab:

“Perjalanan kontrak ini boleh dikatakan baik (proper), saya buat kerja, ada progres, saya tuntut (claim). Dalam tempoh tujuh hari, insya-Allah Datuk Seri (Ahmad Zahid) akan bayar saya yang arif”.

Ketika disoal oleh Sazilee juga, Marzuki  menjelaskan bayaran ubah suai tersebut diterima daripada Ahmad Zahid sendiri, “kebiasaannya selepas solat Zohor atau solat Subuh di Surau An-Nur Country Height”.

Sazilee: Pernah tak pada masa serahan wang, Datuk Seri Nasaee yang serah wang?

Marzuki: Tidak pernah

Sazilee: Jadi semua serahan wang oleh Datuk Seri Zahid sendiri?

Marzuki: Ya

Banglo yang terletak di Lot 403, 2A, Lorong Bayu Nyaman, Country Height Kajang itu dibeli oleh Yayasan Al-Falah, dan kerja ubah suainya, menurut Marzuki, bermula pada Oktober 2018, siap pada minggu kedua bulan Februari 2019, dan penyerahan kunci dibuat pada 30 Mac 2019.

Adik Ahmad Zahid, Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi merupakan pengerusi Yayasan Al-Falah.

Menurut keterangan saksi ke-66 semalam, peguam dan ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Al-Falah, Faisalludin Mohamat Yusuff, 43, Yayasan Al-Falah ialah yayasan keluarga besar Hamidi@Ahmad Tarmidzi Radin Abdul Fateh, manakala Yayasan Akalbudi pula adalah untuk Ahmad Zahid seorang sahaja.

Ahmad Zahid merupakan pengasas, pemegang amanah, dan penandatangan tunggal Yayasan Akalbudi.

Katanya, lot banglo itu dibeli bersama satu lot banglo lain, dengan harga RM5.9 juta, dan dibayar menggunakan cek yang dikeluarkan oleh Tetuan Lewis & Co bertarikh 4 Januari 2017.

“Datuk Seri (Nasaee) kata ini adalah sumbangan daripada abang Nasaee iaitu Datuk Seri Zahid Hamidi,” kata Faisalludin dalam pemeriksaan balas semalam.

Dalam pemeriksaan balas oleh peguam bela Mohd Haziq Dhiyauddin Razali hari ini, Marzuki bersetuju bahawa banglo yang diubah suai itu mempunyai susun atur (layout) seperti sebuah madrasah.

Haziq: Kalau di dalam rumah tu, ada ruangan besar untuk tujuan pengajian atau solat. Tahu tak?

Marzuki: Yang itu saya tahu, ada ruang besar, siap ada karpet dan saf lagi.

Haziq: Di dalamnya, layout (susun atur) seperti sebuah madrasah. Setuju tak?

Marzuki: Saya setuju.

Bagaimanapun, dalam pemeriksaan semula, Marzuki bersetuju dengan cadangan Sazilee bahawa ruang atur itu boleh dan mudah diubah untuk kembali dijadikan rumah penginapan pada “bila-bila masa”.

Sementara itu, saksi ke-71, Mohamed Husein Mohammad Annifah, 30, yang merupakan pengurup wang, mengaku menukar wang tunai RM100,000 kepada dua keping cek jurubank pada 7 Jun 2016 atas arahan Omar Ali Abdullah, yang merupakan majikannya.

“Saya telah diberikan wang tunai berjumlah RM100,000.00 dalam sebuah beg oleh Omar Ali semasa di pejabat,” katanya yang bekerja di Marhaba Enterprise Sdn Bhd.

“[...] Selepas itu, saya pulang semula ke pejabat dan serahkan kedua-dua cek jurubank tersebut kepada Omar Ali. Kemudian, saya teruskan kerja saya seperti biasa. Saya tidak tahu sumber dari mana wang RM100,000.00 diperolehi oleh Omar Ali,” katanya lagi menurut pernyataan bertulisnya.

Dalam pemeriksaan semula oleh peguam bela Ahmad Zaidi Zainal, Marzuki mengakui bahawa tulisan pada dokumen bank bukanlah sepenuhnya merupakan hasil tulisan tangannya.

Meskipun mengakui tulisan “Lewis & Co” merupakan hasil tulisan tangannya, tetapi tulisan “yuran peguam (lawyer’s fee)” di sebelah kanan bawah dokumen berkenaan ditulis oleh pegawai bank.

Zaidi: Kenapa dia tulis macam tu?

Hussein: Tak tahu.

Zaidi: Lewis & Co adalah firma guaman. Tahu?

Husein: Tak tahu.

Saya cadangkan, Lewis & Co adalah pemegang amanah kepada Yaysan Akalbudi. Tahu?

Hussein: Tak tahu.

Pada 15 Jun, saksi ke-53, Wong Shiau Phing yang merupakan pegawai dari bank Hong Leong, mengesahkan pihak bank menerima dua keping cek dari Hussein- RM50,000 setiap satu- yang dibayar kepada Lewis & Co.

Sebelum ini, beberapa saksi mengaku memberikan cek yang dikosongkan ruang penerima kepada Omar Ali.

Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah (CBT) melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Ahmad Zahid dituduh menerima cek berjumlah RM65 juta menerusi peguam dari Messrs Lewis & Co, dengan sebahagian besar daripada amaun itu kemudiannya digunakan untuk penempatan deposit tetap bawah nama firma tersebut.

Selain itu, dua unit banglo berjumlah RM5.9 juta didakwa dibeli tertuduh menggunakan duit tersebut.

Berdasarkan pertuduhan ke-27 pengubahan wang haram, Ahmad Zahid dituduh melibatkan diri dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram, dengan cara mengarahkan Omar Ali Abdullah mengubah bagi pihaknya wang tunai berjumlah RM6,885,300.20 kepada 30 keping cek yang kemudiannya telah diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co.

Ia didakwa dilakukan untuk tujuan pembelian simpanan tetap di Maybank, yang mana ia merupakan hasil aktiviti haram.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh 3 Julai sebagai tarikh sambung perbicaraan.