Skip to main
Logo Malaysiakini

Pelancong meninggal di depoh, tapi imigresen kata dia tak mati

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kesedihan menyelubungi seluruh keluarga Zeawdeen di Chennai, India sejak 8 Mei setelah ketua keluarga mereka, Zeawdeen Kadar Masdan ditahan oleh pihak imigresen di Kuala Lumpur.

Pada 14 Jun, dunia mereka hancur.

Pada ketika itu, mereka mendapat khabar bahawa seorang warga India berumur 67 tahun meninggal dunia di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil. Nama lelaki tersebut tidak diketahui namun ciri-cirinya mirip Zeawdeen.

Sehari kemudian, Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur mengesahkan bahawa individu terbabit adalah Zeawdeen.

Keluarga mereka memberitahu, Zeawdeen antara pelancong yang terkandas setelah penerbangan pulang ke India dibatalkan ekoran sekatan pergerakan di seluruh dunia. Dokumen visa menunjukkan dia memasuki Malaysia pada 17 Mac, sehari sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Zeawdeen sepatutnya pulang ke Chennai pada 20 Mac namun dia ditahan sebulan lebih sebelum ditemui tidak sedar diri di depoh tahanan tersebut.Ujian saringan setelah Zeawdeen meninggal dunia mendapati bahawa dia positif Covid-19, tetapi dokumen Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan Zeeawdeen tidak dijangkiti wabak tersebut sebelum ditahan.

Wakil keluarganya kini masih menunggu untuk menuntut jenazah Zeawdeen.

“Keluarga saya sekarang dalam keadaan terlalu sedih, mak saya ada masalah jantung, lepas dengar berita mengenai ayah saya, dia dekat hospital sekarang.

“Saya nak mengadu di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) kerana bagi saya ini tidak adil. Saya hendak tahu kenapa pihak polis dan imigresen buat macam ini tanpa ada rasa simpati, terutama pada ketika itu adalah puasa (Ramadan),” kata anaknya Jamaludeen.

Imigresen: Itu bukan lelaki yang meninggal

Namun setelah dihubungi, Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud berkata bahawa Zeawdeen bukan lelaki yang meninggal dunia di tahanan depoh pada 12 Jun lalu.

“Semua yang berada di tahanan adalah mereka yang tidak mempunyai dokumen atau tinggal terlampau lama. Mereka telah masuk pada Januari 2020.

“Ini bukan individu yang meninggal dunia,” katanya setelah ditunjukkan dokumen e-visa Zeawdeen yang terpapar bahawa dia memasuki Malaysia pada 17 Mac lalu.

 Ia bertentangan dengan apa yang dimaklumkan Suruhanjaya Tinggi India. Pihak tersebut memberitahu keluarga Zeawdeen pada 15 Jun bahawa Zeeawdeen merupakan individu yang diumumkan KKM sehari sebelumnya.

Keluarga Zeawdeen telah meminta bantuan rakan keluarga untuk menuntut mayat dan menguruskan pengebumian.

Bagaimanapun sehingga kini, kawannya itu masih tidak dapat akses untuk menuntut mayat atau barang peribadi Zeawdeen.

Ia termasuk dokumen pasport, yang bakal menentukan jika Zeawdeen benar-benar meninggal dunia pada 12 Jun lalu.

Kawannya itu telah menghabiskan masa tiga hari bergerak dari satu hospital ke hospital lain.

Akhirnya rakan tersebut dimaklumkan bahawa mayat Zeawdeen berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Semalam, dia menunggu hampir sehari di HKL namun tidak berhasil menuntut mayat Zeawdeen.

Ketua Pengarah KKM Dr Noor Hisham menjelaskan bahawa laporan bedah siasat Zeawdeen masih belum selesai.

Pelancong terkandas

Zeawdeen, Jamaludeen dan ayah mentua Jamaludeen datang ke Kuala Lumpur untuk melancong pada hari Malaysia menguatkuasakan PKP.

Setelah penerbangannya ke India dibatalkan, mereka membuat keputusan untuk menginap di rumah saudara di Malaya Mansion di Masjid India, Kuala Lumpur.

Malaya Mansion merupakan tempat kluster aktif Covid-19. Pada April lalu, kawasan berkenaan dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dan semua penduduk dikehendaki menjalani ujian saringan Covid-19.

Menurut surat KKM yang dilihat Malaysiakini, Zeawdeen dan Jamaludeen disahkan negatif wabak tersebut pada 4 Mei tetapi pada 8 Mei Zeawdeen dibawa ke depoh tahanan.

Ia merupakan kali terakhir keluarganya dapat menghubungi Zeawdeen. Pada 14 Jun KKM mengumumkan kematian seorang individu warga India berumur 67 tahun di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil pada 12 Jun.

Zeawdeen didapati pitam dan dibawa segera ke hospital namun tidak dapat diselamatkan. Keputusan ujian sebelum laporan bedah siasat mendapati bahawa dia dijangkiti wabak Covid-19.

Dia juga menghidapi penyakit darah tinggi, jantung, kencing manis dan masalah buah pinggang.

Pada 14 Jun lalu, Jamaludeen pulang ke Chennai. Dia yang tinggal di Kuala Lumpur sehingga 12 Jun, pada awalnya enggan pulang meskipun penerbangan telah disediakan kerana tidak mahu meninggalkan ayahnya sendirian di tahanan depoh.

Ketika menunggu, Jamaludeen membawa ubat-ubatan Zeawdeen ke Bukit Jalil.

Bagaimanapun, dia tidak dibenarkan untuk melawat ayahnya.

Dia tidak mempunyai pilihan lain selain pulang ke India pada 12 Jun kerana telah kehabisan wang belanja.

“Mereka (pegawai imigresen) beritahu saya untuk pulang dulu tetapi saya ada beritahu bagaimana saya hendak balik tanpa ayah saya? Tetapi pegawai cakap mereka akan hantar ayah saya pulang kemudian,” kata Jamaludeen.

Puluhan pelancong lain dalam tahanan

Hidup atau mati, kisah Zeawdeen mengenai tahanan hampir sama dengan sekurang-kurangnya enam lagi individu di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil. Malaysiakini telah menghubungi keluarga dan rakan individu tersebut.

Dokumen, termasuk cop Imigresen dan e-visa menunjukkan mereka adalah pelancong yang memasuki Malaysia sehari sebelum PKP dan terkandas. Kebanyakannya ditahan oleh pegawai imigresen ketika serbuan dibuat di Masjid India.

Laporan NGO yang berpangkalan di Delhi, Pravasi Legal Cell kepada Suruhanjaya Tinggi India, menganggarkan terdapat sekurang-kurangnya 60 pelancong warga India yang sedang ditahan di depoh tahanan Bukit Jalil.

Suruhanjaya Tinggi India dan pejabat Kementerian Dalam Negeri Malaysia setakat ini tidak memberi sebarang maklum balas terhadap soalan Malaysiakini.

Pravasi Legal Cell juga telah membuat aduan di Suhakam berkaitan tiga lagi tahanan. Suhakam memberitahu Malaysiakini bahawa pihaknya kini sedang mendapatkan respons Jabatan Imigresen dan Suruhanjaya Tinggi.

Meskipun terdapat bukti dokumen yang menunjukkan sebaliknya, Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee berkata bahawa semua tahanan di imigresen adalah mereka yang tidak mempunyai dokumen menunjukkan mereka memasuki negara sebelum Januari 2020.

Terdahulu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memaklumkan bahawa tiada tindakan akan dikenakan kepada pelancong yang telah tinggal melebihi tempoh visa ketika PKP.

Ia memberi sedikit jaminan buat Jamaludeen, yang kini bimbang untuk kembali ke Malaysia.

“Saya akan uruskan upacara pengebumian ayah saya di Malaysia tetapi saya tidak boleh memasuki Malaysia sebab kalau saya ke sana sudah pasti akan ditahan.

“Saya tidak pernah sangka kerajaan Malaysia akan buat begini pada saya,” katanya lagi.

[Baca berita asal]

BERKAITAN:
Puluhan pelancong terkandas ketika PKP ditahan di depoh imigresen sejak Mei