Skip to main
Logo Malaysiakini

AJK Umno Pekan calon BN PRK Chini

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

BN hari ini mengumumkan ahli Jawatankuasa Umno Pekan Mohd Sharim Md Zin sebagai calon untuk PRK Chini pada 4 Julai ini.

Pengumuman itu dibuat Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu acara yang turut dihadiri bekas perdana menteri merangkap pengerusi Umno Pekan Najib Razak.

Dalam ucapannya, Wan Rosdy berkata beliau telah memberikan mandat penuh kepada Najib untuk memilih calon bagi PRK tersebut.

Sebelum ini ada spekulasi menyatakan anak Najib, Mohd Nizar yang juga ketua Pemuda Umno Pekan, adalah antara yang dipertimbangkan untuk menjadi calon PRK tersebut.

Wan Rosdy berkata lagi, semua yang dipertimbangkan sebagai calon adalah layak dan tidak seharusnya berkecil hati jika tidak dipilih.

Beliau menyebut pengalaman Sharim, 41 tahun, dalam pertubuhan belia sebelum ini termasuk Majlis Belia Negeri Pahang.

Menurut Umno Online, Sharim merupakan pegawai kepada penyandang kerusi DUN itu, Abu Bakar Harun, yang meninggal kerana serangan jantung bulan lalu.

PH dan Bersatu sebelum ini berkata tidak akan bertanding dalam PRK itu.

Bagaimanapun Timbalan Ketua Bersatu Pekan Zainul Hisham Tengku Hussin hari ini mengumumkan beliau akan bertanding atas tiket bebas.

“Keputusan ini juga mengambil kira pertimbangan teliti dan saya bersedia berdepan segala risiko tindakan yang akan dikenakan parti dengan ketetapan saya untuk bertanding, mengambil kira kerjasama Perikatan Nasional antara Bersatu dan Umno," katanya seperti dipetik Bernama.

Pada PRU lalu, Abu Bakar mendapat majoriti 4,622 undi dengan mendapat 10,027 undi, menewaskan Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (PAS) dan Mohamar Razali Ithnain (PKR).

Penamaan calon dijadualkan pada 20 Jun manakala pengundian awal 30 Jun.