Skip to main
Logo Malaysiakini

Tajuddin: Umno yakin boleh menang besar PRU15

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Umno yakin parti gabungan kerajaan akan menang dengan majoriti lebih besar sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Tajuddin Abdul Rahman, berkata rakyat kini selesa dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

"Sekarang rakyat semua sudah suka hati apa... kerajaan memberikan macam-macam bantuan kepada rakyat termasuk dalam keadaan Covid-19.

"Kerajaan telah tunjukkan keprihatian kepda rakyat dengan berbagai bagai dorongan bantuan skim pemulihan ekonomi, Bantuan Prihatian Nasional (BPN), buktikan bahawa kerajaan kita ada wang," katanya ketika ditemui, hari ini.

Beliau ditemui selepas pelancaran "Rapid KL Bus Info Availabilitiy ini Google Transit" di Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan, Balakong, hari ini.

Pada 16 Jun lalu, Umno mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno disaat parti itu menggesa supaya pilihan raya umum segera diadakan bagi menamatkan kemelut politik negara.

Setiausaha Agung BN Annuar Musa yang juga anggota (MT) Umno mengakui terdapat perbincangan dalam mesyuarat yang berlangsung pada sebelah malam itu mengenai hala tuju parti sekiranya pilihan raya mengejut diadakan.

Bagaimanapun menurut Annuar, perbincangan tersebut hanya dibincangkan secara umum dan tidak menyentuh lebih lanjut seperti pembahagian kerusi.

"Ada bincang secara umum (mengenai pilihan raya mengejut) tentang cakap-cakap kemungkinan nak adakan snap election (pilihan raya mengejut) tapi itu belum isu berbangkit.

"Itu semua spekulasi awal. Jadi takkan terus nak bincang bagi kerusi dah," katanya selepas selesai mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di PWTC, Kuala Lumpur.

Tajuddin dakwa Lim, Mahathir tipu

Dalam pada itu Tajuddin berkata, keyakinan bahawa PRU ke-15 akan memihak parti kerajaan juga dapat dilihat berdasarkan beberapa tuduhan jahat kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang akhirnya dinafikan PN.

Katanya, kerajaan PN telah membuktikan bahawa negara tidak akan muflis selain memiliki kewangan yang kukuh tidak seperti mana dakwaan PH sebelum ini.

Menurut Tajuddin, tuduhan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng bahawa negara akan muflis sebelum ini adalah satu penipuan.

"Kalau nak muflis tak ada wang takkanlah perdana menteri Muhyuddin boleh keluarkan begitu banyak batuan untuk rakyat.

"Ini membuktikan Lim dan Mahathir menipu kita.

"Tuduhan mereka dulu tak betul maknanya Mahathir pergi serata dunia pinjam duit dari Jepun lah, BN kerajaan rompak duit katanya.

"Jadi, tak betullah kan, sekarang rakyat sudah tahu. InsyaAllah jika ada PRU rakyat akan balik sokong kita, sokong Umno, Bersatu dan PAS," dakwanya.

Jelas Tajuddin lagi, sama ada PRU akan diadakan segera ataupun tidak Umno siap siaga menghadapinya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.