Skip to main
Logo Malaysiakini

'Polis klasifikasi kes MP Batu ingkar PKP tiada tindakan lanjut'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tiada tindakan lanjut dikenakan terhadap Anggota Parlimen Batu, P Prabakaran, yang sebelum ini dituduh melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) di Taman Sri Murni, Selayang, Kuala Lumpur, pada 20 April lepas.

Dalam satu kenyataan, Prabakaran mengucapkan terima kasih kepada pasukan polis kerana menjalankan siasatan terhadapnya dengan adil.

"Saya telah dimaklumkan oleh pihak PDRM beberapa hari lalu bahawa tangkapan ke atas saya tempoh hari berkaitan kes ingkar PKP dan mengganggu penjawat awam telah diklasifikasikan sebagai "tiada tindakan lanjut (NFA)".

"Saya berterima kasih kepada pihak PDRM kerana telah menjalankan siasatan yang adil ke atas diri saya.

"Tidak lupa kepada seluruh warga di Parlimen Batu yang mendoakan kesejahteraan buat saya dan pasukan," katanya.

Pada 20 April lalu, Prabakaran ditahan polis selepas dilaporkan terlibat dengan 'pertelingkahan' dengan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Edmund Santhara (gambar, bawah).

Prabakaran pada ketika itu menjelaskan, semasa kunjungannya di Taman Sri Murni beliau mengetahui Santhara sedang mengadakan mesyuarat di pusat kawalan di sebelah pasar borong Selayang, dan memutuskan untuk mengadakan perbincangan bagi membantu penduduk bersama timbalan menteri itu.

Prabakaran berkata beliau tidak diizinkan menghadiri mesyuarat itu namun tidak kesal atau kecewa kerana menyedari kedudukannya sebagai ahli parlimen pembangkang dan tetap menunggu sehingga Santhara menyelesaikan urusannya.

Setelah meninggalkan tempat tersebut, Prabarakan diberitahu polis bahawa mereka menerima arahan untuk membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

Prabakaran berkata beliau berada di balai polis tersebut sekitar empat hingga lima jam sebelum dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.

Tambah Prabakaran, beliau mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi anggota parlimen yang menjalankan tugasnya selama tempoh PKP.

Sebaliknya, Santhara pada 21 April lalu pula berkata beliau ketika itu sedang bermesyuarat secara peribadi bersama beberapa agensi kerajaan dan wakil Majlis Keselamatan Negara (MKN) di pusat kawalan di sebelah pasar borong Selayang ketika Prabakaran membuka pintu dan masuk.

"Ketika itu saya belum tamatkan mesyuarat dan belum mula mesyuarat bersama jabatan kebajikan masyarakat (JKM), saya minta dia tunggu di luar.

“YB (Prabakaran) kemudian tinggikan suara, terus saya berkata “boleh YB (Prabakaran) tunggu sebentar di luar dan biar saya habiskan mesyuarat”.

“Adakah itu boleh dikatakan sebagai pertelingkahan,” kata timbalan menteri itu.

Bagaimanapun, Prabakaran pada hari ini berkata beliau hairan dan kesal dengan apa yang berlaku ke atas dirinya pada ketika itu.

"Saya hanya keluar untuk membantu masyarakat yang tertekan dan terpinggir di kawasan PKPD," katanya.

Bagaimanapun, Prabakaran yang juga ketua AMK Wilayah Persekutuan berkata beliau mengambil sikap positif daripada kejadian itu dan akan terus berkhidmat untuk rakyat.

"Saya akan terus menumpukan seluruh tenaga dan usaha demi masyarakat. Saya akan terus berkhidmat dan berbakti demi masyarakat umum dan warga Batu.

"Ketahuilah jika kuasa politik yang digunakan untuk menutup mulut saya tempoh hari tidak mampu menghentikan kerja-kerja kemasyarakatan saya, jadi percayalah segala cabaran dan dugaan yang diberikan itu akan memperkuatkan lagi usaha saya untuk berdiri didalam satu saf bersama warga parlimen Batu.

"Terima kasih kepada semua termasuk mereka yang bermerah mata dengan usaha ikhlas saya," katanya.

Malaysiakini sedang mendapatkan pengesahan daripada Ketua Polis Daerah Sentul S Shamugamoorthy berhubung siasatan terhadap kes Prabakaran itu.