Selangor benar rumah ibadat bukan Islam dibuka esok
Selangor membenarkan rumah ibadat bukan Islam dibuka semula bermula esok, dengan syarat semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, dipatuhi.
Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga negeri Dr Siti Mariah Mahmud berkata, kerajaan negeri mengguna pakai SOP baru yang dikeluarkan Kementerian Perpaduan Negara dengan garis panduan tambahan.
“Semua penganut agama dibenarkan mengunjungi rumah ibadat masing-masing, kecuali golongan berisiko tinggi dan sangat berisiko tinggi.
“Bagaimanapun, bagi penganut agama berumur 60 ke atas dan sihat, mereka dibenarkan untuk hadir ke aktiviti keagamaan di rumah ibadat tersebut,” katanya pada sidang media di Shah Alam, hari ini.
Tiga garis panduan tambahan itu ialah kategori golongan berisiko rendah, golongan berisiko tinggi seperti yang berumur 60 hingga 69 tahun, mempunyai penyakit seperti darah tinggi dan sangat berisiko tinggi bagi mereka yang berumur 70 tahun ke atas dan mempunyai penyakit kronik.
Dr Siti Mariah berkata buat masa ini, kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, masih tidak dibenarkan hadir ke mana-mana rumah ibadat di Selangor.
Beliau berkata, menerusi garis panduan tambahan yang diedarkan kepada pihak pengurusan rumah ibadat hari ini juga, kerajaan negeri menyarankan mereka supaya melantik pegawai untuk menyelia logistik dan aliran pergerakan keluar masuk penganut agama, supaya sentiasa mematuhi jarakan sosial.
Katanya, pengurusan rumah ibadat juga harus memastikan jumlah kapasiti yang dibenarkan bagi satu-satu masa adalah satu per tiga daripada keluasan rumah ibadat terbabit, dengan mengambil kira jarakan sosial 1.5 meter bagi setiap individu.
“Semua rumah ibadat dikehendaki berdaftar dengan aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) bagi tujuan pengesanan kontak, dan memaparkan kod QR di pintu-pintu masuk serta tidak bersentuhan atau bersalaman dengan orang lain,” katanya.
Beliau berkata Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Selain Islam Selangor, kini sedang merangka tatacara yang boleh digunakan penganut agama untuk memohon slot, supaya mereka boleh hadir ke rumah ibadat masing-masing mengikut kapasiti yang dibenarkan, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
- Bernama
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai