Skip to main
Logo Malaysiakini

China kesan koronavirus dalam daging, makanan laut di pasar

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pihak berkuasa China mendapati daging dan makanan laut yang dijual di pasar makanan borong di Beijing tercemar teruk dengan koronavirus baru dan mengesyaki suhu dan kelembapan tinggi di kawasan itu mungkin menjadi faktor penyumbang, kata para pegawainya pada Khamis.

Laporan awal itu dikeluarkan ketika negara itu menangani kemunculan semula kes Covid-19 sejak seminggu lalu yang berkaitan dengan pusat makanan Xinfadi,  yang menempatkan gudang dan dewan perdagangan di kawasan seluas hampir 160 padang bola.

Wabak terbaru itu menjangkiti lebih 100 orang dan menimbulkan kebimbangan penularan yang lebih luas di China, lapor Reuters.

Di antara pesakit yang bekerja di pasar Xinfadi, kebanyakannya bekerja di gerai makanan laut dan produk akuatik, serta bahagian daging lembu dan daging kambing.

Ketua epidemiologi di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China, pada taklimat hariannya berkata pesakit dari pasar makanan laut menunjukkan gejala lebih awal daripada yang lain. 

Suhu rendah dan kelembapan yang tinggi mungkin menjadi sebab pasar makanan laut itu menjadi punca penyebaran wabak, kata Wu berdasarkan siasatan awal.

China menghentikan import dari pembekal salmon di Eropah minggu ini di tengah-tengah kebimbangan ia dikaitkan dengan penyebaran wabak baru-baru ini di Beijing.