Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tiada ilmuan Unisel terlibat dalam kenyataan sokong PM'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Universiti Selangor (Unisel) hari ini menafikan ilmuan berkelulusan PhD daripada universiti itu terlibat dalam mengeluarkan kenyataan bersama bagi menyeru sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Pengarah komunikasi korporat Unisel, Hasril Abu Hassan menegaskan tiada ilmuan daripada pihak mereka yang terlibat.

“Pihak Unisel dengan ini sekeras-kerasnya menafikan bahawa ilmuwan dari Unisel terlibat dengan sokongan tersebut.

“Malah ilmuwan kami tidak pernah dilibatkan dengan sokongan tersebut.

“Oleh yang demikian, tidak timbul isu bahawa ilmuwan daripada Unisel menyokong atau tidak menyokong,” kata Unisel dalam satu kenyataan lewat petang ini.

Jelas Hasril, sekali pun pensyarah yang dimaksudkan itu adalah Prof Madya Dr Mohd Fuad Mohd Salleh, kenyataan tersebut adalah tidak benar kerana beliau telah tamat perkhidmatannya di Unisel pada 31 Januari 2020.

“Ini membawa maksud, segala sokongannya itu tidak ada kaitan dengan Unisel," katanya.


Berita berkaitan: 115 ilmuan PhD seru sokongan pada Muhyiddin


Awal hari ini dilaporkan seramai 115 ilmuan berkelulusan PhD daripada universiti tempatan mengeluarkan kenyataan bersama bagi menyeru sokongan terhadap kepimpinan Muhyiddin.

Mereka terdiri daripada dua profesor emeritus, 22 profesor, 33 profesor madya dan 58 pensyarah kanan daripada 21 universiti awam (IPTA) dan empat universiti dan kolej universiti swasta (IPTS).

Mereka juga meminta semua pihak mengangkat tinggi nilai-nilai kemanusiaan dan keagamaan, melaksanakan urus tadbir yang baik serta memastikan kontrak sosial dan peruntukan teras Perlembagaan Persekutuan, khususnya identiti nasional yang berlandaskan identiti Melayu-Muslim, dipatuhi setiap masa.

Selain itu mereka menyeru semua parti politik yang membentuk kerajaan semasa bergabung secara rasmi dalam Perikatan Nasional (PN), manakala barisan pembangkang dari Pakatan Harapan (PN) membentuk kabinet bayangan sendiri bagi memainkan peranan semak dan imbang.

Untuk rekod, Unisel merupakan universiti milik penuh kerajaan negeri Selangor yang pertama ditubuhkan di Selangor dan Malaysia.

Selangor kini merupakan antara negeri yang masih dipegang oleh pembangkang, di bawah pentadbiran Menteri Besar Amirudin Shari dari PKR.