Skip to main
Logo Malaysiakini

KP imigresen sahkan warga India meninggal di depoh

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud mengesahkan kes kematian dalam tahanan melibatkan warga negara India Zeawdeen Kadar Masdan.

Dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini, Khairul Dzaimee Daud berkata Zeawdeen, 67, ialah antara 591 individu yang disaring dalam serbuan pada 1 Mei di Jalan Masjid India di ibu negara.

Malaysiakini semalam melaporkan ramai pelancong dan pelancong perniagaan dari India ditahan imigresen setelah visa masuk mereka selama 30 hari berakhir dalam tempoh PKP.

Merujuk kepada serbuan pada 1 Mei, Khairul Dzaimee berkata hanya 255 daripada 591 pendatang yang diperiksa didapati memiliki dokumen perjalanan yang sah.

"Mereka yang ditahan pula didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah atau telah tinggal lebih masa mulai tahun 2019 atau melakukan perjalanan keluar masuk yang kerap diluar norma kebiasaan seorang pelancong," katanya.

Salah seorang individu yang ditahan bagi siasatan lanjut kerana corak perjalanan tidak normal itu, termasuklah Zeawdeen, dedah Khairul Dzaimee.

"Laporan Malaysiakini mendakwa Pas Lawatan Sosial (PLS) beliau tamat dalam tempoh PKP dan wajar dibebaskan berdasarkan peraturan semasa.

"Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ingin menjelaskan bahawa rekod perjalanan menunjukkan beliau kerap berulang alik ke negara ini (u-turn) dalam tempoh yang pendek.

"Semakan dalam sistem rekod perjalanan imigresen menunjukkan rekod pergerakan Zewdeen yang kerap keluar masuk sejak tahun 2017 sehingga terkini pada 17 Mac 2020.

"Pelancong asing tulen tidak akan melakukan perjalanan dengan kekerapan seperti ini. Mereka selalunya di dapati bekerja secara tidak sah atau menjalankan perniagaan," katanya.

Terdahulu, Khairul Dzaimee berkata bahawa Zeawdeen bukan lelaki yang meninggal dunia di tahanan depoh pada 12 Jun lalu.

Serbuan imigresen ke Jalan Masjid India

Khairul Dzaimee juga menegaskan Jabatan Imigresen telah menjaga Zeawdeen dengan baik termasuk memberi rawatan di pusat kuarantin Maeps setelah dia dinyatakan positif Covid-19 pada 26 Mei.

"...dan dikeluarkan pada 7 Jun 2020. Pada 11 Jun 2020, beliau didapati tidak sedarkan diri dalam Blok Tahanan pada jam 6 petang.

"Tindakan serta merta telah diambil, beliau dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras pada jam 6.30 petang dengan ambulan dan disahkan meninggal dunia pada sekitar jam 10 malam," kata beliau lagi.

Menurut surat Kementerian Kesihatan yang dilihat Malaysiakini, Zeawdeen disahkan negatif wabak tersebut pada 4 Mei tetapi pada 8 Mei Zeawdeen dibawa ke depoh tahanan.

Ia merupakan kali terakhir keluarganya dapat menghubungi Zeawdeen. Pada 14 Jun KKM mengumumkan kematian seorang individu warga India berumur 67 tahun di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil pada 12 Jun.

Pada 14 Jun, ahli keluarga Zeawdeen mendapat tahu daripada laporan berita bahawa seorang lelaki warga India berusia 67 tahun telah meninggal dunia di Depoh Imigresen Bukit Jalil.

Lelaki itu tidak dinamakan tetapi penjelasan mengenainya menepati diri Zeawdeen.

Sehari kemudian, Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur mengesahkan warga India itu ialah Zeawdeen.

Walaupun ditunjukkan salinan dokumen e-visa Zeawdeen, gambar dan maklumat pasport, Khairul Dzaimee telah menafikan lelaki yang meninggal itu ialah Zeawdeen.

Keluarga Zeawdeen sejak itu melantik rakan keluarga, Othuman Mansoor, untuk menguruskan jenazahnya dan mengatur pengebumian di Malaysia.

Ketika dihubungi, Othuman mengesahkan dia telah menerima surat daripada Suruhanjaya Tinggi India yang menyatakan pihaknya tidak keberatan dengan permintaan ahli keluarga agar jenazah Zeawdeen diuruskan olehnya.

Dia juga berkata telah dimaklumkan jenazah Zeawdeen akan dibebaskan untuk dikebumikan dalam masa satu atau dua hari lagi.

Awal hari ini, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata tidak ada alasan bagi pelancong untuk tidak memperbaharui visa mereka yang telah luput ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ismail juga berkata terdapat kemungkinan mereka yang ditahan semasa serbuan imigresen masuk sebagai pelancong tetapi kemudian didapati bekerja secara haram di Malaysia.

[Baca berita asal]