NTF: Tekong tempatan peroleh sehingga RM15k untuk setiap Pati
Demi mengaut keuntungan lumayan sehingga mencecah ribuan ringgit, ada segelintir rakyat tempatan sanggup memperjudikan kedaulatan tanah air dengan menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.
Tekong darat dan laut itu dikatakan menerima bayaran tinggi kira-kira RM13,000 hingga RM15,000 untuk setiap pendatang asing tanpa izin yang dibawa masuk secara haram.
Mendedahkan perkara itu, Komander Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) Laksamana Madya Datuk Aris Adi Tan Abdullah berkata, pihaknya akan memperhebatkan usaha membanteras penyeludupan PATI yang didalangi kebanyakannya tekong terdiri daripada rakyat tempatan.
"Keuntungan diperoleh mereka (tekong) ini luar biasa, malah jumlah bayaran juga berbeza mengikut kawasan dan aktiviti," katanya dalam satu temu bual khas bersama Bernama di ibu pejabat NTF di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Contohnya, jika pendatang asing tanpa izin dibawa bergerak dari satu tempat ke tempat lain melalu sempadan yang dekat, tekong terbabit akan menerima bayaran antara RM800 dan RM1,500 untuk setiap seorang PATI.
"Jika sempadan yang (jaraknya) jauh, sudah tentu dikenakan bayaran tinggi sekitar RM13,000 hingga RM15,000 dan mempunyai harga tertentu," katanya.
Pihak NTF telah mengenal pasti laluan masuk PATI terbabit melibatkan kawasan utara Pulau Langkawi di Kedah; selatan Kuala Selangor, Selangor ke Tanjung Piai, Johor; dan tenggara Johor.
"NTF mempunyai anggota yang bertugas 24 jam setiap hari di kawasan panas itu,” katanya.
NTF juga membuat pemantauan kira-kira 500 laluan tikus masing-masing di Sabah dan Sarawak, yang dijadikan laluan untuk membawa masuk PATI.
Aris berkata lorong tikus di Malaysia di bahagikan kepada tiga kategori iaitu laluan yang mempunyai rekod tangkapan sebelum ini tetapi aktif berjumlah 203; laluan pernah digunakan sebelum ini namun kurang aktif (202); dan laluan tidak aktif dan dianggap jalan terakhir jika laluan satu dan dua dikawal ketat (106).
Beliau berkata, pasukannya berdepan cabaran besar dalam mengesan dan mengenal pasti pergerakan PATI terutamanya etnik Rohingya yang masuk ke negara ini melalui lorong tikus kerana didalangi tekong serta individu rakyat tempatan di sempadan daratan dan maritim negara.
"Selat Melaka dan Selat Singapura juga adalah laluan maritim yang sibuk dengan pergerakan kapal dagang.
"Maka, pendatang asing tanpa izin khususnya di barat dan selatan Semenanjung mengambil peluang dengan menggunakan laluan kapal dagang untuk masuk ke perairan negara," katanya.
Walaupun perairan negara ini luas, ia tidak mematahkan komitmen NTF untuk membanteras kegiatan pencerobohan pendatang asing tanpa izin sehingga ke akar umbi, katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai