Skip to main
Logo Malaysiakini

16 kes baru Covid-19, termasuk di pusat tahanan imigresen kelima

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Malaysia hari ini mencatatkan 16 kes Covid-19 baru termasuk di sebuah depoh tahanan di Sabah, kemudahan imigresen kelima yang terkena virus tersebut.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, dalam satu kenyataan, berkata bahawa 16 kes baru itu merangkumi tiga jangkitan yang diimport dan 13 penularan tempatan.

"Terdapat 16 kes baru yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,572 kes.

"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 295 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan," katanya.

Penularan tempatan itu melibatkan sembilan kes bukan warganegara dan empat rakyat Malaysia.

Kes penularan tempatan bukan warganegara melibatkan enam orang dari kluster Pedas yang mempunyai kaitan dengan sebuah kilang ayam di Negeri Sembilan, dua daripadanya adalah kenalan rapat Pesakit 8,513 dari kelompok syarikat pembersihan di Selangor dan satu dari pusat tahanan sementara Tawau.

Tahanan Tawau yang dijangkiti dikesan setelah menjalani proses pemeriksaan wajib sebelum dihantar pulang ke Indonesia.

Ia pusat tahanan imigresen kelima yang dilanda Covid-19 selepas jangkitan di depoh Bukit Jalil, Semenyih, Sepang dan Putrajaya.

Bagi empat rakyat Malaysia yang dijangkiti penularan tempatan, dua orang merupakan kenalan rapat Pesakit 8,535 dari kelompok Kidurong di Sarawak dan seorang baru-baru ini telah ditangkap serta dimasukkan ke dalam lokap, manakala seorang lagi daripada pemeriksaan pasca operasi di sebuah hospital di Johor.

Tiada kematian dilaporkan setakat jam 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah korban kekal 121 orang.

[Baca berita penuh]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.