Skip to main
Logo Malaysiakini

Doktor: Hydroxychloroquine tak dapat sekat 'serangan' Covid-19 pada pesakit

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Hydroxychloroquine tidak dapat menyekat 'serangan' Covid-19 pada tubuh pesakit,  sebagaimana yang disarankan oleh data yang tersedia dari Malaysia.

Ubat itu nampaknya tidak dapat mencegah keadaan pesakit sama ada pada Tahap 2 atau Tahap 3 daripada bertambah teruk, kata perunding penyakit berjangkit Dr K Suresh, lapor The Star.

Suresh, yang juga ketua jabatan perubatan Hospital Sungai Buloh berkata demikian di webinar mengenai status terkini pengurusan klinikal Covid-19 pada hari Khamis, yang mana bekas timbalan ketua pengarah Kesihatan Dr Christopher Lee menjadi moderator.

Kesimpulan awal ini berdasarkan data daripada 586 pesakit Covid-19 di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Permai (Johor) yang tidak memerlukan alat bantuan pernafasan sokongan oksigen.

Kira-kira 451 pesakit diberi Hydroxychloroquine selama sekurang-kurangnya lima hari dan hasilnya dibandingkan dengan 135 pesakit yang tidak menerima ubat tersebut.

Data 135 pesakit itu adalah data masa lalu yang dikumpulkan sebelum ubat berkenaan diperkenalkan untuk merawat Covid-19.

Hasil kajian menunjukkan bahawa peratusan pesakit yang diberi Hydroxychloroquine dan merosot ke Tahap 4 dan 5 adalah 10 peratus (45 daripada 451 pesakit) manakala 8.9 peratus (12 dari 135) pesakit yang tidak diberi Hydroxychloroquine juga menunjukkan kemerosotan ke tahap lebih tenat.

"Hydroxychloroquine nampaknya tidak dapat mencegah kemerosotan penyakit yang teruk. Hasilnya tidak menunjukkan perbezaan yang signifikan antara kedua-dua kumpulan,” kata Suresh.

Beliau berkata Malaysia mungkin juga berhenti menggunakan ubat itu buat masa ini, berikutan dapatan berkenaan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia juga telah mengumumkan pada hari Rabu bahawa Hydroxychloroquine digugurkan daripada kajian klinikalnya yang besar selepas data menunjukkan bahawa ubat itu tidak berkesan untuk merawat Covid-19.

Bagaimanapun, jelas Suresh data definitif mengenai Hydroxychloroquine akan datang dari Institut Kesihatan Nasional AS (NIH).

Menurut beliau lagi, hasil kajian NIH akan menjadi penemuan konklusif mengenai keberkesanan ubat, tambah saya.

[Baca berita penuh]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.