Skip to main
Logo Malaysiakini

Suami isteri ditahan tanam pokok ganja

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis menahan sepasang suami isteri serta seorang rakan lelaki mereka di tiga lokasi berasingan di daerah Seberang Perai Utara (SPU), Khamis lalu, selepas disyaki menanam pokok ganja di dalam rumah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor berkata ketiga-tiga suspek yang berusia dalam lingkungan 21 sehingga 28 tahun itu ditahan dalam serbuan selepas dikesan pihak polis sejak seminggu lepas.

Katanya, polis merampas empat pokok ganja setinggi 30, 35, 58 dan 70 sentimeter yang kesemuanya bernilai kira-kira RM800.

"Hasil pemeriksaan mendapati mereka telah melakukan aktiviti menanam (pokok ganja) sejak Februari lepas dan semakin aktif ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah SPU di Kepala Batas, hari ini.

Noorzainy berkata suspek mula belajar menanam pokok ganja melalui saluran Youtube dengan niat menjual pokok ganja pada harga RM200 satu pokok untuk pasaran tempatan namun gagal selepas dicekup polis.

Beliau berkata dalam serbuan pertama di Pangsapuri Aked pada 9.40 malam, polis menahan suspek wanita, berusia 21 tahun dan merampas satu pokok ganja, manakala suami suspek berusia 26 tahun diberkas di tepi jalan pantai di Butterworth pada jam10.10 malam.

“Serbuan terakhir dilakukan di Pangsapuri Sri Bagan pada jam 11 malam berjaya menahan suspek lelaki berusia 28 tahun bersama tiga pokok ganja,” kata Noorzainy.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek kini direman selama tujuh hari di bawah Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi membantu siasatan.

- Bernama