Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengawal Pantai S'wak di peringkat pemerolehan aset, ambil petugas

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Rancangan Sarawak untuk menubuhkan pasukan pengawal pantai sendiri kini di peringkat perolehan aset dan pengambilan petugas, kata Ketua Menteri Abang Johari Tun Openg, hari ini.

Menurut beliau, perancangan menubuhkan pasukan Pengawal Pantai Sarawak (SCG) itu dicadangkan beliau pada Oktober tahun lepas untuk menangani pelbagai masalah termasuk pencerobohan kapal nelayan asing dan tempatan serta kerugian pendapatan daripada hasil sumber laut yang luas di negeri ini.

"Tahun ini akan menyaksikan kesinambungan usaha ke arah penubuhan Bahagian Pengawal Pantai Sarawak," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan sempena ulang tahun ketiga Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN) di Wisma Bapa Malaysia, pusat pentadbiran negeri di Kuching.

Ketika mengumumkan penubuhan SCG tahun lepas, beliau memaklumkan bahawa RM90 juta telah diperuntukkan di bawah Belanjawan Negeri 2020 untuk perolehan tiga buah kapal peronda dan pengambilan 50 orang petugas.

Katanya, penubuhan unit pengawal pantai berkenaan dilakukan berdasarkan pindaan Ordinan Perikanan Negeri 2003.

Sementara itu, Abang Johari berkata UKPN banyak terlibat dalam mencegah pembalakan haram dan pengorekan pasir, memastikan keselamatan makanan, aktiviti keselamatan fizikal, serta mewujudkan kesedaran penubuhan dan latihan Pasukan Tindakan Kecemasan Komuniti (CERT) di seluruh Sarawak sejak tiga tahun lepas.

"UKPN telah membuka 25 kertas siasatan, merampas kira-kira 6,000 kayu balak, 13 buah jentera berat dan tiga buah lori, yang membawa kepada 76 individu didakwa di mahkamah. Saya percaya penguatkuasaan ini memberi kesan dan menggurangkan aktiviti pembalakan haram di Lembangan Batang Rajang.

"Op Jongkong, yang meliputi wilayah Batang Rajang, adalah contoh terbaik operasi yang dilaksanakan untuk menggagalkan pengambilan kayu balak secara haram dan boleh menyebabkan kerosakan alam sekitar dan kehilangan pendapatan negara," katanya.

UKPN turut memainkan peranan utama dalam menyelaras operasi memerangi rabies seluruh Sarawak di bawah penubuhan Immune Belt Enforcement Team (IBET) yang diluluskan Kabinet baru-baru ini.

"Lapan fasa operasi bermula dari Telok Melano pada Mac 2019 dan berakhir di Lawas pada November (tahun ini).

"Operasi berjaya memberi vaksin kepada 26,000 ekor anjing dan melupuskan 11,000 ekor anjing," tambah beliau.

- Bernama