Skip to main
Logo Malaysiakini

Seludup dadah guna dron: Polis buru 'Boy Setan'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis kini memburu seorang lelaki Singapura dikenali sebagai ‘Boy Setan’ yang juga suspek utama bagi kes penyeludupan dadah menggunakan dron ke republik itu, baru-baru ini.

Ayob Khan, dipetik Bernama berkata lelaki itu yang nama sebenarnya ialah Mohamad Azli Ahmad Said, 40, turut dikehendaki pihak berkuasa Singapura kerana kesalahan berkaitan dadah.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Ramli Din dipetik Bernama berkata pihak polis terus memperhebatkan usaha mengekang penyeludupan dadah yang semakin canggih menggunakan teknologi dron ketika ini.

Jelasnya, rangkaian kerjasama dengan pihak berkuasa dari negara jiran, terus diperkasa bagi menggagalkan kegiatan penyeludupan dadah secara moden itu.

Ramli (gambar, bawah) berkata kerjasama dengan pihak berkuasa dari Singapura, Thailand dan Indonesia sangat diperlukan bagi mengekang apa jua modus operandi baru yang digunakan mana-mana sindiket bagi membawa masuk bekalan dadah.

"Penggunaan dron dalam penyeludupan dadah adalah modus operandi baru yang dikesan di Johor. 

"Pihak kami sedang adakan kerjasama erat dengan pihak berkuasa dari negara jiran untuk menyiasat perkara ini," katanya menjelaskan kawalan di sempadan negara juga dipertingkatkan.

Sabtu lalu, dua lelaki warga Singapura ditahan kerana menggunakan dron untuk menyeludup dadah ke pulau itu dari Johor.

Menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Biro Narkotik Pusat (CNB), data penerbangan yang diambil daripada telefon seorang suspek menunjukkan dron itu diterbangkan dari Kranji, Singapura ke Johor Bahru sebelum kembali semula ke Kranji.

Berikutan maklumat itu, polis Singapura juga menahan seorang wanita berusia 24 tahun dan seorang lelaki berusia 40 tahun untuk siasatan lanjut.