Skip to main
Logo Malaysiakini

Azis nafi ahli Warisan Sepanggar keluar parti besar-besaran

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketua Pemuda Warisan, Mohd Azis Jamman menafikan laporan terdapat 600 anggota parti itu bertindak keluar parti membabitkan sembilan cawangan dalam bahagian Sepanggar.

Anggota parlimen Sepanggar itu berkata, pihaknya telah meneliti dakwaan berkenaan dan ternyata ia tidak berlaku.

"Pemeriksaan oleh bahagian mendapati bahawa apa yang dikatakan oleh bekas ketua sayap Wirawati Sepanggar Raisa Abdul Ghaffur tidak benar.

"Dari sembilan cabang yang disebut olehnya, tujuh bahkan tidak ada. Mereka tidak didaftarkan," kata Azis yang juga ketua Warisan bahagian Sepanggar ketika dihubungi.

Tambah Azis lagi, sebahagian anggota parti itu yang hadir pada sidang media yang diadakan oleh Raisa turut menafikan mereka keluar Warisan.

"Mereka hadir di sidang media kerana menganggap ia majlis lain, bukan mengenai keluar parti," tambah Azis lagi.

Jelasnya, angka itu sengaja ditimbulkan dalam sidang media itu bagi menampakkan ia kelihatan hebat.

Sementara itu, timbalan Ketua Warisan bahagian Sepanggar Ahmad Jais Otong juga membantah dakwaan kononnya 600 anggota Warisan kawasan itu keluar parti.

"Bagaimana (Raisa) boleh mendakwa (ada) 600 anggota yang didaftarkan di bawah tujuh cabang ini yang (bahkan tidak) didaftarkan?" katanya dalam satu kenyataan.

Dari cawangan yang masih ada, katanya satu cawangan telah menafikan anggotanya keluar dari parti itu sementara cawangan lain mendakwa pemimpinnya meninggalkan parti itu tetapi anggotanya tetap bersama Warisan.

Bagi cabang lain, Ahmad Jais berkata ia tidak ditubuhkan secara rasmi kerana masalah teknikal.

Raisa dilaporkan keluar Warisan bersama dengan 600 anggota yang mendakwa mereka telah hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Azis.

[Baca berita asal]