Skip to main
Logo Malaysiakini

Kematian warga India di depoh: Peguam tolak penjelasan KP Imigresen

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang peguam menolak penjelasan Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkenaan penahanan seorang pelancong warga India yang kemudian ditemui meninggal dunia di depoh tahanan, dengan menyifatkannya sebagai hanya difikirkan kemudian (afterthought).

Peguam Rajesh Nagarajan berkata demikian selepas laporan hari ini bahawa Zeawdeen Kadar Masdan ditahan kerana didakwa melakukan perjalanan keluar masuk yang kerap di luar normal kebiasaan pelancong biasa.

Rajesh berkata, jika Jabatan Imigresen sedar akan corak perjalanan tersebut, pihak berkuasa sepatutnya dari mula telah melarang kemasukannya di negara ini.

"Jika (Jabatan Imigresen) tidak gembira dengan (dakwaan corak perjalanan Zeawdeen), maka jangan benarkan dia masuk.

"Imigresen ada kuasa untuk menafikan sesiapa saja daripada masuk ke Malaysia. Jadi jika mereka benarkan mereka masuk, mengapa kemudian menangkapnya pula?

"Penahannya (seolah-olah) tanpa asas dan keseluruhan '(alasan) perjalanan keluar masuk yang kerap' adalah seperti difikirkan kemudian (afterthought) oleh pegawai Imigresen Sebagai justifikasi penahanan tanpa asas dan tidak betul," katanya kepada Malaysiakini.

Khairul Dzaimee

Pada 19 Jun, Malaysiakini melaporkan Khairul Dzaimee mengesahkan kematian Zeawdeen pada 12 Jun, bertentangan dengan penafiannya berkenaan kematian lelaki itu ketika dalam tahanan.

Khairul Dzaimee mendakwa Zeawdeen ditahan pada 1 Mei bagi membantu siasatan berkenaan dakwaan perjalanan keluar masuk yang kerap di luar kebiasaan pelancong biasa.

Sementara itu, Rajesh berkata antara jalan perundangan yang boleh diteroka keluarga Zeawdeen adalah untuk memfailkan saman terhadap Jabatan Imigresen dan kerajaan Malaysia berhubung kematiannya.

Bagaimanapun Rajesh berkata wajar untuk keluarganya mengusahakan inkues terhadap kematianya terlebih dahulu.

Katanya, inkues wajar untuk membolehkan keterangan lisan didengar agar bukti dapat dikumpul untuk sebarang tindakan undang-undang berkenaan perkara itu.

"Apabila (Jabatan Imigresen) menahan seseorang, mereka bertanggungjawab terhadap kebajikannya.

"Adakah Imigresen melakukan segala cara yang boleh untuk menyelamatkan nyawa (Zeawdeen)? Adakah mereka beri perhatian perubatan yang wajar? Adakah penahanannya sah di sisi undang-undang?

"Maka sebuah inkues perlu dilakukan," katanya lagi.

Pada 18 Jun, dilaporkan keluarga Zeawdeen di Chennai, India, dapat tahu beberapa hari sebelumnya (14 Jun) bahawa Zeawdeen telah mati di Pusat Tahanan Imigresen Bukit Jalil, dan perkara itu kemudiannya disahkan Pesuruhjaya Tinggi India.

Keluarganya dilaporkan berkata, Zeawdeen adalah seorang pelancong dan terkandas apabila penerbangan ke India dibatalkan kerana sekatan perjalanan susulan wabak Covid-19.

Dilaporkan bahawa dokumen visa menunjukkan dia masuk ke Malaysia pada 17 Mac lalu, sehari sebelum penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).