Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis Ipoh siasat dakwaan anggota 'kasari' aktivis pekerja

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis Ipoh akan menyiasat dakwaan anggota pasukan itu 'mengasari' lima aktivis yang ditahan setelah mengadakan bantahan berhampiran Hospital Raja Permaisuri Bainun awal bulan ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Mohamed Nordin Abdullah berkata demikian dalam satu kenyataan selepas aktivis itu membuat laporan polis terhadap anggota berkenaan di ibu pejabat polis daerah Ipoh hari ini.

Lima aktivis itu termasuk Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerja Nasional dalam Perkhidmatan Sokongan dan Perkhidmatan Bersekutu (NUWHSAS) M Sarasvathy, pegawai NUWHSAS L Danaletchumi dan V Santhiran, serta anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) P Jody dan C Subramane.

"Mengenai tuduhan itu, kami akan melakukan penyiasatan dalaman berdasarkan laporan yang dibuat oleh mereka.

"Sekiranya benar bahawa (pegawai polis) telah menyalahgunakan kuasa mereka dan melanggar prosedur operasi standard (SOP), kami akan mengambil tindakan," kata Nordin.

Sebelum itu, Malay Mail melaporkan bahawa Sarasvathy mendakwa polis melakukan kekerasan dan menyalahgunakan kuasa mereka semasa melakukan tangkapan.

"Kami ditangkap secara salah (walaupun) kami mengikuti semua SOP. Polis memaksa saya dan empat aktivis lain menaiki van ‘Black Maria’ dan kami dirantai secara paksa.

"Walaupun berteriak kesakitan, pegawai polis tidak melonggarkan gari kami. Pegawai polis itu juga cuba mengambil salah satu telefon bimbit aktivis,” kata Sarasvathy kepada media di luar ibu pejabat polis daerah Ipoh hari ini.

Sarasvathy yang juga setiausaha eksekutif PSM mendakwa pegawai berkenaan menggunakan bahasa kasar terhadap mereka ketika mereka cuba untuk duduk dalam keadaan tangan bergari.

"Anggota itu berkata ‘jangan bisinglah. Gampang. Bising macam binatang. Duduk diam-diam," dakwanya.

Semua lima aktivis itu memfailkan laporan polis berhubung kejadian berkenaan, manakala kesatuan sekerja NUWHSAS pula membuat laporan berasingan.

Sarasvathy mendakwa semasa bantahan itu, pihaknya mematuhi SOP seperti menjaga penjarakan sosial, memakai topeng muka dan memeriksa suhu.

UEM Edgenta Bhd mengeluarkan kenyataan berhubung bantahan itu, menafikan pelbagai dakwaan terhadap syarikat itu.

[Baca berita asal]