Skip to main
Logo Malaysiakini

PKPP: Sabah benarkan penganjuran majlis k'jaan, swasta dengan SOP

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerajaan Sabah hari ini memutuskan untuk membenarkan pelaksanaan majlis-majlis anjuran kerajaan dan swasta sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal berkata SOP wajib dipatuhi oleh setiap agensi kerajaan dan swasta yang ingin melaksanakan sebarang mesyuarat, seminar, bangkel, kursus, latihan persidangan, dan ceramah dengan jumlah kapasiti tidak melebihi 150 orang bergantung kepada saiz ruang dan jarakan sosial.

“Mengikut SOP yang ditetapkan, setiap penganjur perlu menyediakan kaunter saringan kesihatan di pintu masuk untuk memastikan kehadiran, membuat pemeriksaan suhu badan dan saringan gejala.

“Para penganjur, urus setia dan penceramah perlu menjalani saringan kesihatan. Semua yang hadir juga digalakkan memakai penutup hidung dan mulut serta sentiasa mematuhi penjarakan sosial,” katanya dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu, hari ini.

Beliau berkata semua penganjur juga mesti mendaftarkan peserta menggunakan imbasan kod 'Quick Response' (QR) melalui aplikasi SabahTrace dan peserta yang tidak mempunyai peranti pintar direkodkan secara manual.

“Tempat penganjuran majlis juga perlu disanitasi dan mempunyai pengudaraan yang baik, sebarang penyediaan makanan adalah secara berbungkus dan ruang makan dalam kedudukan jarakan sosial dan tidak berkumpul,” katanya.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.