Skip to main
Logo Malaysiakini

PAS sokong penuh calon BN di Chini

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PRK CHINI |  Ahli PAS dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini akan memberi sokongan penuh terhadap calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain bagi memastikan kemenangan beliau dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu.

Pengerusi Majlis Tindakan PAS DUN Chini Sarjuni Konting berkata ahli PAS di kawasan berkenaan turut akan membantu kempen Mohd Sharim, 41, bagi memastikan kemenangan menjadi milik calon BN yang juga generasi kedua Felda itu.

"Kami akan sokong BN dalam PRK ini. Saya memang mengenali Mohd Sharim secara peribadi sejak dahulu lagi dan percaya beliau mempunyai kemampuan untuk memimpin.

"Saya menasihatkan beliau supaya terus mendaulatkan Islam dan mengambil berat aspek ekonomi terutama kepada anak-anak peneroka yang tiada pekerjaan," katanya kepada pemberita di Pekan malam ini.

Sementara itu, Mohd Sharim berkata beliau menerima pandangan Sarjuni mengenai keutamaan yang perlu diberikannya dalam kempen PRK DUN Chini, terutama dalam aspek berkaitan mendaulatkan agama Islam dan meningkatkan ekonomi generasi muda.

PRK DUN Chini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohd Sharim menentang dua calon bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, bagi merebut kekosongan kerusi ditinggalkan Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, yang meninggal dunia akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas pada 7 Mei lepas.

SPR menetapkan hari mengundi awal bagi PRK DUN Chini pada 30 Jun, manakala hari mengundi pada 4 Julai ini. PRK Chini adalah pilihan raya kecil yang ke-11 selepas PRU-14.

Pada PRU-14 lalu, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, menewaskan calon PAS Mohd Fadhil (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain daripada PKR (1,065). DUN Chini mempunyai 20,990 pengundi.

- Bernama