Skip to main
Logo Malaysiakini

Calon bebas rasa difitnah kerana dituduh ditaja PKR

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PRK CHINI | Calon bebas yang mencuba nasib mengekang dominasi parti kerajaan, Mohd Shukri Mohd Ramli, menafikan dakwaan bahawa dia ditaja PKR.

Justeru Mohd Shukri berjanji akan membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung “fitnah” di media sosial yang membuat dakwaan sedemikian.

“Logo PKR diletakkan pada gambar saya manakala logo Bersatu di gambar calon bebas lain.

“Ini dilakukan bagi mengelirukan pengundi Chini yang fikir saya ditaja oleh PKR,” katanya seperti dipetik The Star.

Mohd Shukri sebelum ini merupakan ahli PKR. Namun keahliannya dibatalkan. Laporan yang dipetik tidak menjelaskan alasan atastindakan berkenaan.

Pada pilihan raya umum (PRU) ke-12, Mohd Shukri bertanding sebagai calon PKR untukl kerusi DUN Kemayan, manakala semasa PRU ke-13 dia menjadi calon bebas di DUN Semambu.

Calon PKR, Lee Chean Chung, memenangi kerusi tersebut dengan turut mengalahkan wakil MCA, Pang Tsu Ming.

Menurut Mohd Shukri, dia bertanding sebagai calon bebas pada PRK kali ini kerana mahu mempertahankan rakyat dan membangkitkan isu yang tidak diberi perhatian.

"Saya kecewa dengan tuduhan fitnah ini.

“Mengapa perlu fitnah calon bebas yang tiada kuasa untuk membeli rakyat dengan duit?” katanya lagi.

PRK Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya yang merupakan ahli Umno, Abu Bakar Harun, pada 6 Mei lalu.

Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru ini di antara calon BN Mohd Sharim Md Zain, yang dicabar Mohd Shukri dan seorang lagi calon bebas, bekas timbalan ketua Bersatu Pekan, Tengku Zainul Tengku Husin.

SPR menetapkan hari mengundi awal bagi PRK Dun Chini pada 30 Jun, manakala mengundi biasa pada 4 Julai ini

Chini merupakan satu daripada empat DUN yang berada bawah kawasan Parlimen Pekan. Anggota parlimen Pekan kini disandang bekas perdana menteri Najib Razak.

Sementara itu Ketua Komunikasi PKR Pahang, Wan Fauzuldin Wan Samad, turut menafikan dakwaan bahawa partinya menaja Mohd Shukri.

Dipetik Sinar Harian, Wan Fauzildin menjelaskan, Mohd Shukri kini bukan anggota PKR lagi.

“PKR berharap penduduk di kawasan DUN Chini lebih hati-hati jika dapat maklumat ada ahli PKR telah setuju dan menaja mana-mana calon bebas.

“Calon bebas yang menjual nama PKR harus ditolak pengundi, terutama penyokong PKR, kerana jelas bahawa calon itu tidak jujur dengan pengundi,” katanya lagi.

Pada PRU ke-14 lepas, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi.

Dia menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang mendapat 5,405 undi dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR (1,065 undi).

DUN Chini mempunyai 20,900 pengundi berdaftar.