Skip to main
Logo Malaysiakini

Pesan-pesan terakhir Subky Latif - pemikir terpenting PAS

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Subky Latif dan akhbar rasmi PAS Harakah tidak dapat dipisahkan.

Berpuluh tahun menulis, antaranya melalui kolum Min Aina Ila Aina (dari mana hendak ke mana), Subky memposisikan dirinya berbeza daripada pemimpin lain PAS.

Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan beliau antara pemikir terpenting yang PAS pernah ada.

Veteran PAS yang pernah menjadi pemimpin pusat parti Islam itu secara tidak langsung memberitahu kita bahawa sebuah gerakan Islam harus datang bersama idea, tidak cukup dengan semangat dan laungan “Allahu Akhbar” sahaja.

Beliau menulis pelbagai perkara, tetapi yang paling diingati tentulah pesan-pesannya buat parti Islam itu dan pengamatannya terhadap politik semasa dan polilitk Islam yang dipegangnya.

Subky bagaimanapun seorang penulis yang versetail. Beliau turut menyentuh pelbagai isu.

Pada hari-hari terakhirnya, beliau turut menulis mengenai kaitan antara pendatang asing tanpa izin dan penyebaran Covid-19, tentang menteri yang mungkin curi-curi menggunting rambut ketika kedai gunting rambut belum dibenarkan beroperasi serta kerinduan terhadap cucu-cucunya.

Ketika awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), katanya, anggota keluarga ramai yang terpisah.

Beliau salah seorang, katanya dalam artikel menceritakan tentang kerinduannya kepada 18 orang cucu-cucunya, termasuk dua orang yang baru lahir.

Sebagai seorang atuk biasa, beliau mengaku merindukan “peluk cium, berdakap dan berdukung” dengan cucu-cucunya itu.

“Tapi macam mana hendak cucu itu bila-bila masa datang memeluk dan memanjat kita kerana itulah kebiasaan apabila mereka berkumpul. Yang dua orang yang meniarap itu sahaja yang mudah dijarakkan.

“Dan bagaimana hendak mengekang diri dari mengambil meriba dan mencium dua bayi itu?” katanya.

Berkaitan politik pula, beliau mengulas berkaitan politik Kedah di ambang kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu pimpinan Mukhriz Mahathir serta misterinya nasib seseorang ahli politik.

Berikut antara pesan-pesan terakhir Subky berkaitan hal ehwal politik:

Kerjasama atas dasar majoriti ‘tak ngam’, rapuh

Subky menyifatkan kerjasama politik yang dibuat hanya untuk mendapatkan majoriti membentuk kerajaan sebagai rapuh.

Mengulas politik Kedah di ambang kejatuhan kerajaan pimpinan Mukhriz, beliau menyifatkan kerajaan itu ditegakkan atas asas yang “tidak ngam”.

“Sepatutnya Kedah jadi kubu terkuat Bersatu mengibarkan bendera kerajaan Pakatan Harapan. Justeru ia adalah negeri Doktor Mahathir yang jadi tonggak meruntuh kerajaan Umno/BN yang berkuasa 60 tahun itu,” tulisnya.

Subky melihat keadaan sama berlaku di Johor, Melaka dan Perak.

[Kedah negeri PH terakhir dalam krisis, 17 Me 2020]

Nasib politik siapa yang tahu

Mengulas ura-ura undi tidak percaya terhadap Muhyiddin Yassin, Subky berkata tiada siapa yagn dapat meramal masa depan politik seseorang.

Beliau memetik pemikir purba Greek, Solon, yang berkata tidak siapa tahu apa yang terjadi pada masa akan datang dan menegaskan “Kita tidak tahu yang tercatit di Loh Mahfuz”.

Dalam artikel sama beliau mengulas nasib Anwar Ibrahim yang menurutnya 40 tahun menunggu menjadi perdana menteri tetapi “burung yang di tangan Anwar terlepas, meninggalkan tahi di tangannya”.

“Politik pun cuti. Mahathir terbuang dari Jabatan Perdana Menteri tetapi yang menggantinya bukan Anwar yang siang malam hendak membuangnya, dia digantikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Burung yang di tangan Anwar terlepas, meninggalkan tahi di tangannya,” kata Subky.

[Jatuhkah Muhyiddin oleh Mahathir 18 Mei ini?, 14 Mei 2020]