Skip to main
Logo Malaysiakini

Jangan jadi ‘reforbasi’

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pada tahun akhir semester di Fakulti Seni Halus Shah Alam sekitar 2013 lalu, sahabat saya Fadhli Ariffin menghasilan installasi seni cetakan yang mengambil tema ikon Anwar Ibrahim sebagai penghasilan karya akhirnya.

Selain menghasilkan imej-imej Anwar, Fadhli mencetak kain rentang yang terdapat lirik “I fought the law and the law won” oleh Sonny Curtis sekitar penghujung tahun 1950, dan dipopularkan Bobby Fuller Four pada tahun-tahun berikutnya serta arca-arca kecil topi konvokesyen dan beberapa arca mulut yang terbungkam.

Melihat ironi imej dan petikan lirik serta arca-arca yang sangat begitu jelas berhubung kait tersebut pastinya tanggapan awal kita ia adalah berkaitan perjuangan, keadilan dan ia sangat berkait rapat dengan politik Malaysia pada ketika karya itu dihasilkan sama ada ia bersifat peribadi pengkarya atau ia sebahagian perakam zaman.

Dalam konteks Malaysia pasca dua pemerintahan kerajaan yang berbeza selepas negara ini merdeka, politik adalah sebuah jalan panjang yang kita tidak boleh lari dari menggaulinya sama ada secara dekat atau jauh.

Tujuh tahun lalu ketika Fadhli menghasilkan karya tersebut Pakatan Harapan belum lahir. Mahathir dengan Anwar belum bergandingan dan masih berseteru.

Anwar pula masih relevan sebagai tokoh perjuangan serta kata-kata beliau pada masa itu adalah sebuah mentera yang auranya begitu kuat dengan masyarakat marginal.

Itu konteks sezaman yang dirakam oleh kawan baik saya dalam karya installasi seni cetakannya.

Namun untuk sekarang konteks pasti sangat berbeza seiring zamannya. Tidak ada lagi perseteruan antara kedua-duanya hingga dapat membentuk sebuah kerajaan pada 2018 selepas memenangi piliham raya umum sebelum kejituan gandingan mantap kedua-dua ini menjadi goyah selepas setahun pemerintahan.

Isu peralihan kuasa menjadi barah dalam pentadbiran hingga salah seorangnya meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan kerajaan menjadi tergantung hingga kerajaan dibina mereka runtuh sendirinya.

Isu tersebut terus berpanjangan walaupun mereka tidak lagi menjadi kerajaan. Lantaran itu memaksa beberapa pimpinan politik daripada parti lain melahirkan kerisauan mereka terhadap regu ini.

Benar bahawa mereka harus mengambil semula mandat rakyat yang telah mereka menangi pada pilihan raya lalu. Tetapi memberi pilihan kata dua kepada Anwar berkaitan cadangan yang dikemukan mereka adalah keterlaluan.

Menidakkan Anwar buat kali kedua adalah kecurangan abadi.

Biar bersendiri asal tidak terus tersakiti

Tempat letak duduknya seorang Anwar bukan di kerusi timbalan perdana menteri tetapi adalah di kerusi empuk dalam kamar perdana menteri.

Peristiwa 21 tahun lalu cukup memberi resah panjang selepas dilengserkan daripada orang nombor dua kerajaan ditambah pula dengan kecurangan rakan-rakan rapat politiknya yang terus mahu mengangkat Mahathir kembali.

Anwar harus muhasabah supaya tidak terus terperangkap buat sekali lagi dengan permainan ini.

Ya, Anwar bukan seorang yang berjiwa kecil. Beliau harus menunjukkan sebuah reformasi yang tulen sepertimana yang diperjuangkannya sejak 21 tahun lalu dan beliau harus menghidupkan reformasi itu sesihatnya buat semua rakyat Malaysia khususnya serta pengikut beliau amnya.

Jangan dibiar ia menjadi “reforbasi”.

Jiwa Anwar telah bebas setelah lama jasadnya dikurung. Apalah sangat dengan kuasa yang sementara ini, daripada melacurkan prinsip perjuangan dan keadilan.

Biarlah rakan-rakan politik menolak asalkan apa yang dikata sebelum ini bukan retorik tetapi dikota dengan pelaksanaan.

Anwar dan PKR masih sebuah parti yang kuat dan mempunyai akar umbi yang utuh, maralah ke depan biar bersendiri asal tidak terus tersakiti lalu dapat mengangkat reformasi sebenar.

Reformasi kepada sebuah sistem dan undang-undang yang dapat memberi keadilan pada sesama - sesuai dengan ikon Anwar yang diangkat dalam installasi seni cetakan itu dan kata-kata Sonny Curtis tidak sepi diperjuangkan.


ARAFAT HAMBALI ialah seorang bekas graduan seni halus yang kini selesa menulis daripada melukis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakni.