Skip to main
Logo Malaysiakini

Zuraida nafi campur tangan siasatan kes gangguan seksual MP Sg Siput

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin hari ini menafikan beliau campur tangan dalam siasatan polis berhubung kes dakwaan gangguan seksual melibatkan Ahli Parlimen Sungai Siput S Kesavan.

Tegas Zuraida, beliau tidak ada kena mengena dengan hal berkaitan PKR.

"Saya tidak ada kena mengena dengan sesiapa dan apa-apa hal yang berkaitan dengan PKR," katanya melalui mesej kepada Malaysiakini.

Zuraida berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung gesaan seorang wanita yang meminta Ahli Parlimen Ampang itu supaya tidak campur tangan dalam siasatan polis berkaitan laporan yang dibuatnya terhadap Kesavan.

Wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai 'Ammu' itu menggesa Zuraida supaya tidak campur tangan dalam siasatan polis yang masih berterusan.

Terdahulu, wanita itu mendakwa bahawa dia menerima beberapa panggilan daripada individu-individu dekat dengan Zuraida.

"Sejak kebelakangan ini, saya menerima beberapa panggilan daripada individu-individu dekat dengan Zuraida memberi banyak cadangan berhubung kes ini.

"Malah, mereka juga berjanji akan mengadakan satu perjumpaan dengan Zuraida kononnya beliau nak 'membantu' saya.

"Nasihat saya kepada Zuraida: Jangan campur tangan dalam kes ini. Jangan cuba mengambil kesempatan politik daripada kes ini. Polis masih siasat. Biarkan mereka siasat," kata wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai 'Ammu' kepada Malaysiakini.

Untuk rekod, pada 17 Mei tahun lalu, Malaysiakini melaporkan Kesavan dan wanita berkenaan yang juga bekas bendahari PKR cabang Sungai Siput saling membuat laporan polis antara satu sama lain.

S Kesavan.

Dalam laporan polis wanita itu, dia mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual Kesavan sejak Disember 2018.

Manakala Kesavan pula membuat laporan polis mengadu tentang trauma dan gangguan jiwa terhadapnya.

Kesavan juga menafikan dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap bekas pembantunya itu.

Pemimpin PKR Perak itu berkata, laporan polis yang dibuat oleh wanita berkenaan terhadapnya adalah berniat jahat dan cuba menjatuhkan reputasinya.

Susulan kenyataan Kesavan, wanita tersebut bertindak mengambil tindakan undang-undang terhadap Kesavan.

Ada bukti rakaman audio

Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini, 'Ammu' berkata bahawa dia mempunyai bukti rakaman audio panggilan daripada seorang wanita yang didakwanya sebagai penyokong tegar Zuraida.

"Saya menerima panggilan daripadanya pada awal bulan ini. Saya kenal sangat wanita itu kerana kami merupakan ahli PKR. Beliau orang kuat Zuraida dari Perak.

"Semasa hubungi saya, dia meminta saya segera mengadakan satu sidang media supaya 'membuka' balik kes ini. Dia juga berjanji akan mengadakan perjumpaan dengan Zuraida.

"Namun, saya menolak kerana isu ini tidak kena mengena dengan PKR. Saya masih ahli PKR dan sokong presiden saya (Anwar Ibrahim). Ini isu peribadi saya bukan isu parti," katanya.

"Sejak itu, saya terima panggilan daripada individu yang lain yang memperkenalkan diri mereka sebagai 'orang Zuraida'.

"Saya juga pelik, kenapa Zuraida baru nak membantu saya sedangkan semasa beliau di PH, dia tidak pernah layan mesej saya, walaupun saya pernah beberapa kali cuba menghubungi dia berkaitan kes ini," tambahnya lagi.

Zuraida yang merupakan bekas naib presiden PKR merupakan antara wakil rakyat yang meninggalkan PKR bersama bekas timbalan presidennya Mohamed Azmin Ali dalam 'Langkah Sheraton'.