Hilang kerja dan tempat tinggal, ibu hidap barah tinggal di kereta dengan 6 anak
Menjalani kehidupan sebagai seorang ibu bukanlah sesuatu perkara yang mudah.
Cabaran penuh liku telah dihadapi oleh seorang ibu, yang tidak mahu namanya didedahkan, dalam mencari ikhtiar demi menyara kehidupan dirinya bersama enam anak.
Ibu itu yang kini sedang dalam proses perceraian dengan suaminya, bagaikan jatuh ditimpa tangga setelah diberhentikan kerja oleh majikan Mac lalu ekoran perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menyebabkan kebanyakan perniagaan merudum.
Malah, si ibu, yang menghidap penyakit barah juga terpaksa keluar dari rumahnya kerana sewa tertunggak yang tidak mampu dibayar.
Demi meneruskan kehidupan, keluarga tujuh beranak itu bertekad untuk tinggal dalam kereta dan menumpang mandi di tandas stesen minyak di Hulu Selangor sementara si ibu mencari pekerjaan baru.
Kisah menyayat hati ini antara yang dikongsi di Facebook Lembaga Zakat Selangor yang telah menyalurkan bantuan kepada keluarga tersebut.
Wanita itu sebelum ini mendapat perhatian Kuan Chee Heng - atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang - yang meghulurkan bantuan kepadanya.
Setelah dibantu oleh Uncle Kentang, dia menerima bantuan dari Lembaga Zakat Selangor dan beberapa NGO lagi.
Nama Uncle Kentang tidak asing lagi buat rakyat Malaysia. Dia dilihat kerap membantu orang awam, tidak kira bangsa.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Kuan menjelaskan bahawa dia menerima panggilan telefon daripada ibu tersebut dua hari lalu dan terus ke stesen minyak itu untuk melihat sendiri keadaan keluarganya.
“Selepas dia (ibu) called, saya pergi jumpa dia sebab nak sahkan dia memang perlu bantuan.
“Bila saya pergi, saya lihat dia memang perlukan bantuan,” katanya lagi.
Tambah Kuan, dia kemudian ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan bagi keluarga tersebut.
“Saya bawa ke balai polis, buat laporan untuk rujukan zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan saya berikan juga sedikit wang ketika itu.
“Kemudian Lembaga Zakat Selangor terus hubungi saya untuk dapatkan maklumat lanjut,” katanya lagi.
Kuan malah membuat hantaran di laman Facebook untuk berkongsi kesedihannya berkenaan situasi keluarga berkenaan.
Sementara itu, Kuan juga menyedari bahawa kereta yang digunakan ibu tersebut mempunyai masalah dan sudah dibawa ke bengkel untuk diperiksa.
“Nampak dia memang kesian sebab tidur dalam kereta yang penyaman udara rosak.
“Jadi semalam saya dah bawa kereta dia ke bengkel untuk periksa penyaman udara tersebut,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai