Skip to main
Logo Malaysiakini

Calon bebas PRK Chini hanya tahu dibuang parti dari media sosial

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bekas Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pekan Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, yang keahliannya sebagai ahli parti itu terhenti serta-merta kerana bertanding sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, berkata beliau hanya mengetahui tindakan parti terhadapnya melalui media sosial.

Katanya beliau belum menerima surat daripada Bersatu pusat berkenaan perkara itu dan hanya melihat surat berkaitan kedudukan beliau dalam Bersatu bertarikh 22 Jun, yang tular di media sosial.

“Saya telah menjangkakan perkara ini sebelum bertanding tiket Bebas. (Jadi) saya tak terkejut dengan tindakan ‘pelucutan’ itu.

“Mungkinlah agaknya (surat) sudah sampai di rumah saya di Pekan,” katanya ketika ditemui pemberita semasa melakukan tinjauan mesra atau walkabout bersama komuniti Orang Asli di Kampung Gantung Geriang di Pekan hari ini.

Surat kepada Tengku Zainul Hisham yang menyatakan keahlian beliau sebagai ahli Bersatu terhenti serta merta itu ditandatangani Setiausaha Kerja Bersatu Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya semalam.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin berkata parti itu tidak akan meletakkan calon sebaliknya seluruh jentera Bersatu akan digerakkan untuk memastikan kemenangan calon daripada sekutu baharunya dalam Perikatan Nasional (PN), iaitu Barisan Nasional (BN).

Mengikut fasal 10.2.4 perlembagaan Bersatu, keahlian terhenti serta-merta apabila bertanding dalam pilihan raya tanpa kebenaran parti atau sebagai calon Bebas atau calon mana-mana parti atau bertindak sebagai pencadang/penyokong dalam kertas penamaan calon Bebas atau calon parti lawan.

PRK DUN Chini, dengan pengundian ditetapkan pada 4 Julai ini, menyaksikan Tengku Zainul Hisham berdepan pertandingan tiga penjuru dengan calon BN Mohd Sharim Md Zin dan seorang lagi calon Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli.

- Bernama