Laporan: Myanmar minta izin bawa pulang Pati dalam tahanan
Kerajaan Myanmar meminta Putrajaya untuk menghantar pulang warganya yang bekerja secara haram di Malaysia.
Permohonan itu dibuat ekoran peningkatan mendadak kes bunuh diri melibatkan pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Myanmar baru-baru ini.
Menurut laporan The Irrawaddy Ketua Pengarah Kementerian Luar Myanmar, U Aung Myint, menemui duta Malaysia di negara itu bagi mendapatkan kerjasama Malaysia menghantar pulang warganya yang bekerja tanpa dokumen.
“Ribuan pendatang tak berdaftar tersadai di Malaysia tanpa kerja ekoran Covid-19 serta serbuan terhadap pendatang tanpa dokumen.
“Pada Isnin, U Aung Myint, ketua pengarah Kementerian Luar Myanmar bertemu dengan Zahairi Baharim, duta Malaysia, untuk memohon kerjasama Malaysia menghantar pulang pekerja tanpa dokumen, menurut kementerian berkenaan,” lapor The Irrawaddy.
Pegawai kanan tersebut dilaporkan turut memberitahu Zahairi bahawa Yangon akan menghantar bantuan penerbangan bagi membawa pulang warga mereka jika Malaysia membenarkan permohonan berkenaan.
Satu lagi permintaan yang dibuat ialah supaya Malaysia tidak mengenakan denda terhadap pendatang tanpa dokumen yang hendak pulang ke Myanmar.
Malaysiakini sedang menghubungi Wisma Putra untuk mendapatkan maklum balas.
Media The Myanmar pula melaporkan terdapat pendatang tanpa dokumen dari Myanmar membunuh diri antara Mei dan awal Jun ini.
Laporan itu turut memperincikan dua lagi kes, yang masing-masing dikatakan terjadi pada 18 Jun dan 21 Jun. Kedua-dua kejadian itu berlaku di Kuala Lumpur.
“Daripada lebih 550,000 pendatang dari Myanmar di Malaysia, dianggarkan 250,000 tidak mempunyai dokumen, menurut U Aung Zaw Min, yang merupakan atase buruh di kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur.
“Beliau baru-baru ini berkata sehingga 50,000 pekerja tanpa dokumen tidak dapat mencari pekerjaan,” kata laporan itu lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai