Cadangan ambil pekerja asing terus dari depoh tahanan disambut baik
Persatuan Kebangsaan Usahawan Wanita Malaysia (Nawem) menyambut baik cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkaitan pengambilan semula pendatang asing tanpa izin (Pati) dalam depoh tahanan imigresen (DTI) di seluruh negara.
Dalam satu kenyataan, pengerusi biro latihan pekerjanya Nurizan Hussin berkata cadangan itu mampu menghapuskan penglibatan orang tengah dalam proses pengambilan tenaga kerja asing.
“Pengambilan tenaga asing secara langsung dari depoh tahanan imigresen juga dapat mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung kerajaan bagi menampung hampir 15,000 tahanan Pati di seluruh negara,” katanya.
Tambah Nurizan, langkah itu juga membolehkan pengumpulan data yang lebih komprehensif bagi semua tahanan Pati di depoh imigresen setelah mereka menjalani proses tapisan serta saringan yang ketat oleh pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Oleh itu, hanya sebahagian Pati bakal layak untuk ditawarkan peluang pekerjaan dan mereka akan dipastikan bebas daripada sebarang rekod jenayah, mempunyai dokumen perjalanan yang sah serta bebas daripada risiko penularan penyakit berjangkit," katanya lagi.
Nurizan turut menyifatkan langkah pengambilan semula tenaga kerja asing dari depoh tahanan itu sebagai “alternatif lebih selamat” dan “tersusun” bagi memenuhi keperluan tenaga kerja asing dalam usaha merancakkan semula ekonomi negara selepas serangan Covid-19.
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin sebelum ini berkata pekerja asing tanpa dokumen yang ditahan mungkin mendapat peluang untuk diambil bekerja secara sah.
Dari Jan hingga 15 Jun lalu, Jabatan Imigresen menahan 17,226 pendatang tanpa dokumen dalam operasi-operasinya.
Seramai 243 majikan turut ditahan kerana menggaji pekerja asing secara haram.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai