Adik PM Singapura sertai parti pembangkang
GLOBAL l Adik lelaki perdana menteri Singapura, Lee Hsien Yang, hari ini mengumumkan bahawa dia akan menyertai parti pembangkang yang bertanding menentang abang kandungnya pada pilihan raya 10 Julai yang akan datang, tetapi belum memutuskan sama ada dirinya akan bertanding.
Lee Hsien Yang, anak pengasas Singapura, Lee Kuan Yew, sebelum ini terlibat dalam pertikaian sengit dengan abangnya berhubung rumah peninggalan mendiang bapa mereka. Dia memberitahu Reuters bahawa dia telah menyertai parti baru, Progress Singapore Party (PSP).
Lee mengkritik Parti Tindakan Rakyat (PAP) abangnya, Lee Hsien Loong, yang diasaskan oleh bapa mereka yang telah mentadbir republik berkenaan sejak kemerdekaannya pada tahun 1965.
Tahun lalu, Hsien Yang mendakwa bahawa PAP telah "hilang arah tuju" dan bahawa dia "menyokong prinsip dan nilai PSP".
PSP diterajui oleh Tan Cheng Bock, bekas anggota parlimen PAP yang terkenal kerana hampir mengalahkan calon yang disokong oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam pemilihan presiden 2011.
"Kita akan lihat," jawab Lee Hsien Yang ketika ditanya apakah dia bersedia menawarkan dirinya sebagai calon.
Jurucakap PSP tidak segera melayan permintaan Reuters untuk mendapatkan ulasan.
- Reuters
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai