Skip to main
Logo Malaysiakini

Curi ayam sebab cari makan atau memang suka mencuri? - Kadir

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Wartawan veteran A Kadir Jasin hari ini turut serta dalam 'perang analogi ayam' yang sebelum ini membabitkan Dr Mahathir Mohamad dan Najib Razak.

Ia adalah mengenai perbalahan hujah di antara kedua-dua bekas perdana menteri itu mengenai keputusan mahkamah melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Riza Shahriz Aziz dalam kes pengubahan wang haram.

Masih menggunakan ayam sebagai objek hujah, kali ini, Kadir mempersoalkan apakah pencuri ayam mencuri kerana “mencari makan” atau kerana sememangnya “mereka suka mencuri”.

Imbas Kadir, pada zaman 1950-an dan 60-an dahulu, semua orang memelihara ayam sehingga menyebabkan harga ayam rendah ekoran kurang permintaan di pasaran.

Namun, kata bekas penasihat media perdana menteri itu, yang peliknya, meskipun tiada permintaan, pencuri ayam tetap ada.

“Inilah jenis pencuri yang paling ramai dan boleh dikatakan semuanya Melayu. Melayu pelihara ayam dan Melayu curi ayam. Tapi apabila nak jual ayam curi, kena cari peniaga ayam Cina,” katanya di Facebook.

Ulas Kadir, kesalahan mencuri ayam pada ketika itu dianggap paling rendah kelasnya, malah penjenayah akan dikenali semua orang kampung termasuklah kanak-kanak.

Dari mana dapat duit

Pencuri ayam yang ditangkap akan dipenjara seminggu dua, namun tambah beliau, tauke Cina yang membeli ayam curi pula tidak pernah kena tangkap.

Hal itu kata Kadir menunjukkan mereka sejak dahulu dapat kowtim (berunding) dengan pihak berkuasa yang umumnya terdiri daripada orang Melayu.

“Jadi timbullah pertanyaan adakah pencuri ayam mencuri kerana mencari makan atau sememangnya mereka suka mencuri?”

Sindir Kadir, pada abad ke-21 ini, sindrom mencuri ayam nampaknya masih berlaku, namun kali ini tidak lagi melibatkan ayam, tetapi duit yang bernilai sehingga berbilion-bilion ringgit.

“Logiknya pencuri ayam moden ini tidak perlu mencuri sebab mereka dilahirkan kaya-raya, berpelajaran tinggi dan berjawatan besar. Tapi mereka curi juga.

"Tak tahulah kalau dalam tubuh badan mereka mengalir darah pencuri ayam.

“Tapi Riza Shahriz Abdul Aziz tidak dituduh mencuri. Dia dituduh mengubah duit haram. Daripada mana datang duit haram itu? Kalau bukan duit curi, pasal apa tak boleh tunjuk bukti?” soalnya lagi.

Dalam hantaran sama, Kadir turut mengepilkan poster memaparkan lima tuduhan pengubahan wang haram membabitkan Riza.

Riza yang merupakan anak tiri Najib, diberikan DNAA dalam kes pengubahan wang haram melibatkan dana AS$248 juta (RM1.25 bilion) yang dikaitkan dengan 1MDB.

Sebagai sebahagian daripada persetujuan itu, Riza perlu menyerahkan aset yang dianggarkan bernilai AS$108 juta (RM416.6 juta).

Perang analogi ayam antara Mahathir dan Najib bermula apabila Mahathir - tanpa menamakan sesiapa - menyebut bagaimana kedaulatan undang-undang dicabuli sambil memberikan contoh mencuri 11 ekor ayam, tetapi hanya memulangkan seekor sahaja, manakala 10 ekor lagi disimpan.

"Ini undang-undang baru, jadi apa kita boleh buat," soal Mahathir.

Perang analogi jadi melarat

Najib membidas analogi Mahathir sebagai tidak betul, dan mendakwa Riza telah memulangkan “13 ekor” ayam berbanding 11 yang diterimanya. 

Katanya, Riza perlu membayar semula AS$40 juta lebih daripada AS$248 juta yang diterima sebagai dana pelaburan untuk projek-projek filem anak tirinya itu, termasuk melalui saman sivil di USA melalui DOJ serta kepada "penghantar" sebelum sebarang saman sivil difailkan ke atas Riza.

Namun, bidas Mahathir, apa yang perlu dibayar Riza terhadap pihak-pihak lain adalah tidak relevan sekiranya kerajaan pada akhirnya tidak mendapat semula jumlah wang berkenaan.

"Hakikatnya anda curi AS$248 juta daripada 1MDB dan jumlah keseluruhan perlu dipulangkan. Apa yang anda bayar kepada orang lain tidak relevan," katanya.

Perang analogi itu turut melarat menyentuh soal kontrak kerajaan yang kata Najib dinikmati oleh anak-anak Mahathir dan kroni ketika beliau menjadi perdana menteri, dan dakwaan itu juga disanggah Mahathir.

Terbaru, Najib menyenaraikan apa yang didakwanya kontrak kerajaan yang diberikan kepada anak-anak dan kroni anggota Parlimen Langkawi itu. 

Riza merupakan pengasas bersama Red Granite Pictures, sebuah syarikat yang diperbadankan di AS, yang menerbitkan filem The Wolf of Wall Street, Dumb and Dumber Too.